Tempatan

Malaysia Bukan Negara Sekular Dan Bukan Seratus Peratus Sama Rata Tetapi…- Haniff Khatri

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 09 Ogos 2022 – “Apa yang dihasratkan adalah undang-undang tertinggi yang mengikat struktur organisasi Persekutuan Tanah Melayu pada masa itu adalah Perlembagaan dan di dalam menyediakan Perlembagaan, Suruhanjaya Reid telah mengambil pendapat hampir kesemua pihak yang ada di Semenanjung pada masa itu,” ujar Peguam Kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

Jelasnya, apabila mereka menyediakan undang-undang tertinggi yang dihasratkan tersebut yang kemudiannya menjadi Perlembagaan Persekutuan, saya secara nyata tidak nampak secara objektif bahawa dihasratkan ianya adalah seratus peratus sama rata.

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan, adakah benar sejarah kita secara nyata membuktikan bahawa kita, orang Malaya, sepatutnya menjadi satu bangsa, semuanya sama rata?

Menurut Haniff, hal ini disebabkan wujudnya Perkara 3 dan Perkara 153. Perkara 3 adalah kedudukan agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan. Kalau semua seratus peratus sama rata maka tidak akan Suruhanjaya Reid setuju untuk gubal Perkara 3 iaitu Islam Agama Persekutuan dan agama lain dibenarkan untuk diamalkan secara aman dan harmoni. Jadi macam mana boleh dikatakan kalau dilihat dari Perkara 3 bahawa Perlembagaan kita memperuntukkan kesamarataan kesemua pihak.

Beliau berkata, adanya Perkara 153 pula, iaitu hak keistimewaan orang Melayu dan orang asal atau peribumi. Jadi dalam keadaan kewujudan gubalan undang-undang tertinggi secara khususnya Perkara 3 dan Perkara 153 serta juga Perkara 152 Bahasa Melayu, cuma boleh dipinda melalui majoriti 2/3 di Parlimen dan kemudiannya perlu mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja. Kekebalan tinggi peruntukan tersebut jelas menjadikan Perlembagaan kita bukan seratus peratus sama rata. Jadi saya tidak nampak secara objektifnya bahawa Suruhanjaya Reid yang menggubal Perlembagaan Persekutuan dan kandungan Perlembagaan Persekutuan telah menjadikan Perlembagaan Persekutuan sebagai seratus peratus sama rata. Tidak.

Tambahnya, tetapi, ianya juga tidak boleh dikatakan sebagai satu Perlembagaan Persekutuan yang mendukung diskriminasi sebab Suruhanjaya Reid telah mengambil kira sejarah Persekutuan Tanah Melayu daripada awal sampailah ianya dijajah oleh tiga kuasa Eropah dan kemudian ada empat lima tahun oleh Jepun dan kemudiannya kembali di tangan Inggeris sehingga merdeka. Jadi, mengambil kira semua perkara tersebut dan berpandukan dalam kebijaksanaan suruhanjaya tersebut yang tidak mengandungi seorang pun daripada mereka rakyat Malaysia telah mendapati bahawa kedudukan agama kena diletakkan Islam di atas dan keistimewaan orang Melayu dan Peribumi diletakkan di atas daripada hak orang-orang lain. Tetapi itu tidak bermakna ianya diskriminasi sebab di bawah Perkara 8 Perlembagaan membenarkan untuk mengasingkan atau membezakan keadaan antara golongan yang berbeza (mengasingkan golongan yang berbeza tidak bermaksud diskriminasi). Jadi menurut peruntukan Perkara 8, maka Perkara 3 dan Perkara 153 ataupun Bahasa Melayu Perkara 152, tidak boleh dianggap sebagai mendiskriminasi bangsa lain atau agama lain, sebab itu dibenarkan di bawah Perkara 8 sekalipun.

Ditanya apa pandangan beliau mengenai kenyataan aktivis, Haris Ibrahim yang mengatakan berdasarkan sejarah kita, Tanah Melayu sepatutnya menjadi sebuah negara sekular?

Haniff berkata, fahaman saudara Haris Ibrahim memang jujur dan ikhlas dalam memberi pendapat beliau. Dia tidak segan silu memberi pendapat dan bagi saya dia adalah seorang yang sangat terbuka dan saya percaya dia tidak ada niat jahat langsung. Itu pendapat beliau yang harus kita hormati dan harus dibincangkan melalui pendapat-pendapat secara ilmiah berpandukan kepada Perlembagaan dan perundangan bukan emosi atau sentimen. Saya kenal saudara Haris Ibrahim secara peribadi dan menghormati beliau selain turut pernah bekerja bersama untuk tempoh satu tahun pada peringkat saya menjadi peguam latihan di firman guaman di mana beliau menjadi peguam tahun pertama. Dia adalah orang yang boleh menerima pendapat yang berbeza, selagi dibincangkan secara objektif dan ilmiah.

Ujar beliau lagi, asas pendapat Haris Ibrahim ini adalah berpandukan kepada satu kes yang bernama Che Omar Che Soh. Kes Mahkamah Persekutuan pada masa itu diputuskan oleh Tun Salleh Abas dan dalam kes tersebut ada ungkapan dan pendapat yang kononnya mengatakan bahawa Malaysia adalah negara sekular. Tetapi pendapat yang diberikan oleh Tun Salleh Abas itu, dengan hormat ada khilafnya.

Yang kedua, ialah ucapan yang dibuat oleh almarhum Tunku Abdul Rahman Putra, Bapa Kemerdekaan semasa menjadi Perdana Menteri dahulu. Bagaimanapun, kedua-dua asas pendapat ini bagi saya adalah tidak tepat kerana dalam kes Che Omar Bin Che Soh, Tun Salleh Abas pada peringkat awal telah bertanyakan satu soalan berbunyi, “Apakah maksud Islam yang dimaksudkan oleh penggubal undang-undang?” Bahagian pertama dijawab Islam is the way of life, iaitu Islam merangkumi semuanya iaitu dari hidup sampai mati. Bukan sekadar ritual, majlis rasmi dan sebagainya. Tetapi apabila dia nak menjawab persoalan apakah itu Islam di situlah yang dia mula khilaf. Jadi dia berpendapat penggubal undang-undang menghasratkan Islam di Malaysia dirujuk di dalam Perlembagaan adalah cuma tersekat kepada isu-isu kerasmian. Kenapa saya kata Yang Amat Arif terkhilaf, sebab pada masa yang sama, walaupun dia betul dalam merujuk kepada Perkara 3, tetapi dia tidak rujuk kepada Perkara 11.

Jelasnya, Perlembagaan Persekutuan Perkara 11 Fasal 3 mengatakan tiap-tiap kumpulan agama berhak menguruskan hal agamanya sendiri. Jadi apabila ditanya soalan apakah itu Islam? Maka jawapannya tidak boleh diperolehi melalui pandangan kehakiman Yang Arif Tun Salleh Abas ataupun mana-mana hakim lain. Sebaliknya dia perlu tanya orang yang menguruskan hal agama iaitu alim ulama dalam Islam yang terdiri daripada mufti-mufti, pakar-pakar pada masa itu, akan apakah itu Islam? Sebab dalam Perlembagaan telah menyatakan apakah itu Islam adalah untuk kumpulan agama itu menentukan sendiri. Bahkan bukan sahaja Islam apa sahaja agama, Kristian adalah untuk orang Kristian menentukan dan menguruskannya sendiri, begitu juga dengan Hindu dan Buddha. Jika adalah hakim yang duduk di atas kerusi hakim tidak boleh dalam pandangannya atau pandangan mana-mana orang yang kononnya mempunyai pandangan agama itu menerimanya sebagai Islam, Kristian, Buddha atau Hindu. Ia mesti kena tanya pakar yang menguruskan agama. Itulah khilaf Yang Amat Arif Tun Salleh Abas. Sebab kalau dia tanya alim ulama, alim ulama akan mengatakan Islam is the way of life daripada lahir sampai mati dan selepas mati.

Anda tidak boleh ambil sekerat-sekerat Islam dan tidak boleh dikatakan untuk upacara rasmi atau ritual sahaja. Jadi jika ada khilaf dalam penghakiman Che Omar Che Soh maka penghakiman itu wajar dan perlu diziarah semula oleh Mahkamah Persekutuan yang lain. Kami telah dalam beberapa kes sebelum ini terutamanya kes Subashini vs Saravanan  telah cuba membawa isu itu untuk dirujuk tetapi malangnya Mahkamah Persekutuan berpendapat untuk memutuskan kes itu atas isu-isu lain dan tidak ingin mencampuri keputusan yang telah dibuat oleh Tun Salleh Abas dalam kes Che Omar Che Soh setakat ini. Jadi bila kita berpeluang nanti, bila ada kes yang sesuai insya Allah kami akan membawa semula Mahkamah Persekutuan untuk menziarah semula dan melawat semula penghakiman Tun Salleh Abas dan memperbetulkan apa yang saya katakan sebagai khilaf.

Kemudian persoalan lanjut mengapa negara kita bukan sekular, dan kenapa Tunku Abdul Rahman pun dengan hormat saya mengatakan telah khilaf adalah sebab, mana-mana Perlembagaan cuma boleh dikatakan sekular kalau Perlembagaan dengan sendirinya bersifat sekular. Apa maksud saya? Mana-mana Perlembagaan yang merujuk kepada agama tak kira agama mana sekalipun tidak boleh menjadi Perlembagaan sekular. Sekular adalah mengasingkan agama daripada  sistem negara secara total, tetapi Perlembagaan kita dalam Perkara 3 dan banyak perkara lain menyentuh dan menyebut agama Islam. Bukan sahaja agama Islam tetapi menyentuh dan mengatakan tentang agama-agama lain.

Perkara-perkara yang seperti saya sebutkan tadi, Perkara 3 dan Perkara 11(3) dan juga sumpah-sumpah yang perlu diangkat oleh pihak-pihak yang berjawatan dan daripada KDYMM YDPA, Raja-Raja sampailah penjawat-penjawat awam. Semuanya mempunyai nilai-nilai keagamaan Islam. Perlembagaan yang menyentuh mana-mana bahagian mana-mana agama tidak boleh dikatakan sekular, itu salah. Sekular adalah tidak mempunyai nilai agama dan tidak menyentuh langsung unsur agama. Kalau tidak disentuh agama langsung di dalam Perlembagaan ataupun Perlembagaan kita seperti mana di India mengatakan negara itu adalah negara sekular disebut secara awal maka barulah saya mungkin boleh bersetuju dengan mana-mana pendapat walaupun kawan baik yang saya hormati saudara Haris Ibrahim.

Tetapi, perkara itu tidak wujud dalam Perlembagaan. Kenapa tidak wujud sebab tidak diniatkan Perlembagaan kita untuk dinyatakan atau negara kita untuk dinyatakan sebagai Perlembagaan atau negara sekular. Tetapi itu juga tidak bermakna bahawa negara kita adalah satu negara Islam yang berpandukan kepada seratus peratus hukum hakam Islam setakat ini kerana ia membenarkan penggunaan Undang-Undang Sivil melalui bidang kuasa kepada Mahkamah Sivil di bawah Perkara 121 dan menjadikan Mahkamah Syariah di bawah Perkara 121A sebagai mahkamah berasingan dan kedua-dua mahkamah mempunyai bidang kuasa mereka masing-masing.

Jadi, segala undang-undang sivil Akta Parlimen yang digubal adalah memang berbentuk sekular. Tetapi undang-undang Islam adalah berbentuk Syarie dan rakyat Malaysia yang beragama Islam tertakluk kepada dua set undang-undang, satu set undang-undang sivil dan satu lagi set undang-undang syariah seperti yang dinyatakan dalam beberapa kes Mahkamah Persekutuan seperti baru-baru ini dalam kes Bin Abdullah (Mahkamah Persekutuan), sebelum itu kes Juzaili dan juga kes Lina Joy. Ada pelbagai kes yang telah dilaporkan bahawa kalau kita orang Islam, nak tak nak, kita tidak boleh lari daripada hakikat kita tertakluk kepada dua set undang-undang, satu set undang-undang sekular untuk urusan-urusan biasa dan satu set undang-undang syariah berkaitan urusan-urusan peribadi dan personal dan keagamaan kita tertakluk kepada undang-undang syariah. Dalam keadaan itu apabila ada juga diiktiraf Mahkamah Syariah di bawah Perkara 121A, maka bagaimanakah mana-mana orang yang munasabah boleh mengatakan Perlembagaan kita adalah sekular, bahawa negara kita adalah sekular. Tapi pada masa yang sama kita bukan seratus peratus negara Islam. Saya sentuh perkara ini sejak tahun 2006 dan saya percaya rakan saya, Datuk Zainul Rijal juga telah menyatakan beberapa kali perkara yang sama. Kita boleh rujuk Perlembagaan Persekutuan kita ini sebagai “Perlembagaan Hybrid” cantuman sekular dan Islam.

Persoalannya, benarkah dakwaan Haris Ibrahim usaha mereka di pejabat tertinggi adalah untuk menjejaskan dan menggugat sistem sekular secara berterusan tanpa henti yang sepatutnya dilaksanakan di Malaysia?

Jelas Haniff, yang pertama, maka kalau negara kita ini bukan sekular macam manakah soal bahagian pertama itu betul. Bagaimanakah kita nak mengatakan ada penjejasan atau kekejaman ke atas sekularisme negara kita sebab ia bukan sekular pun.

Yang keduanya, untuk mengatakan bahawa pihak-pihak di pejabat tertinggi menjejaskan kedudukan sekular itupun tidak begitu tepat sebab orang-orang yang duduk di pejabat tertinggi pun tidak faham Perlembagaan kita. Jadi apabila mereka pun tidak faham macam mana kita nak katakan mereka berniat untuk menjejaskan secara jahat. Ada antara mereka pula yang anggap bahawa Perlembagaan itu adalah seratus peratus Islam, jadi kena tidak buat segalanya berpandukan hukum syariah. Kalau nak, maka kena buatlah pindaan Perlembagaan. Tapi kena beranilah jelaskan bahawa undang-undang syariah kita adalah undang-undang yang begitu adil. Kena beri faham tentang kesyumulan, keadilan Islam.

Soalnya, adakah penjawat-penjawat awam kita seperti majlis-majlis agama, jabatan-jabatan agama, menteri-menteri agama pernah turun ke padang ceritakan kepada saudara-saudara bukan Islam kita? Macam mana kita nak beri faham kepada yang bukan Islam bahawa prinsip-prinsip jurispruden Islam adalah lebih adil kepada mereka. Kalau kita dapat ceritakan kemungkinan kita boleh terapkan sedikit demi sedikit lama-lama jadi bukit, akan prinsip-prinsip Islam dan bila orang sudah faham dan lihat dengan mata sendiri keadilan Islam maka besar kemungkinan kita tidak akan ada masalah berhubung dengan penerimaan hukum-hukum Islam terhadap mereka yang bukan Islam sepertimana yang pernah berlaku di zaman Rasulullah S.A.W. di mana diberi pilihan kepada rakyat di Madinah sama ada nak ikut hukum-hukum di bawah Islam ataupun hukum-hukum di bawah kitab anutan agama-agama mereka sendiri.

“Jadi macam mana mereka hendak menjejaskan sedangkan mereka sendiri pun tidak faham perkara ini?” soalnya.

Justeru, yang ketiganya bagi melengkapkan penjelasan saya, terdapat satu kes yang dikenali sebagai kes Kalimah Allah di mana pada tahun 2013, Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Aziz Rahim telah menyatakan dengan jelas memandangkan Islam adalah Agama Persekutuan ianya menjadi tanggungjawab kepada semua cabang Kerajaan iaitu Parlimen, Jemaah Menteri, Eksekutif dan Mahkamah untuk membenarkan hak orang Islam untuk menggunakan dan menerima pakai hukum-hukum, sunnah-sunnah mahupun kewajipan-kewajipan mahupun Islam dalam kehidupan seharian.

Menurut Haniff, pihak Kerajaan tidak boleh menghalang, kalau pihak jabatan agama ataupun kementerian contohnya dalam majlis-majlis rasmi kementerian bila mereka bermula dengan bacaan doa dan mereka tidak memaksa orang bukan Islam dan mereka tidak memaksa orang bukan Islam mengangkat tangan baca doa, cuma untuk tafakur maka itu tidak boleh dianggap sebagai mengislamkan sistem tadbir urus negara. Itu adalah untuk membenarkan orang Islam mengamalkan agama mereka selari dengan amalan sivil tadbir urus negara. Hakim Aziz Rahim dalam kes Kalimah Allah telah menyatakan pengiktirafan Perlembagaan untuk mengguna pakai hak mereka yang beragama Islam, untuk mengguna pakai prinsip agama mereka dalam kehidupan seharian walaupun semasa bertugas sebagai penjawat awam.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: