Tempatan

Kes Kalimah Allah: Sultan Johor Dukacita

Jangan lupa join Telegram, Instagram dan Facebook kami bagi mendapatkan berita terkini

JOHOR BAHRU, 18 Mac 2021 – Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Al-Marhum Sultan Iskandar menzahirkan rasa dukacita baginda dengan polemik penggunaan kalimah Allah yang digunakan pada tuhan yang lain daripada maksud sebenar.

Tegas baginda, kalimah Allah merupakan nama yang khusus kepada Tuhan yang disembah oleh umat Islam seperti yang difirmankan dalam surah Taha, ayat 14.

“Nama ‘Allah’ ini diberi oleh diri-Nya, bukan berasal daripada mana-mana akar kata, tetapi kata nama khas yang merujuk kepada Allah, Tuhan Yang Maha Esa, Tuhan yang disembah oleh umat Islam.”

“Firman Allah SWT dalam surah Taha ayat 14 yang bermaksud: “Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah solat untuk mengingati Daku”.”

Tambah baginda, Fatwa Negeri Johor yang telah diwartakan secara jelas menyatakan bahawa, penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam adalah tidak diharuskan, tidak dibenarkan serta ditegah dan dilarang.

“Fatwa Negeri Johor yang telah diwartakan oleh Kerajaan Johor pada 4 Jun 2009 secara jelas menyatakan bahawa “Penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam adalah tidak diharuskan, tidak dibenarkan serta ditegah dan dilarang”. Fatwa ini bermaksud penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam yang tidak bertepatan dengan maksud yang sebenarnya sebagaimana ajaran agama Islam adalah sama sekali tidak boleh dan tidak dibenarkan.”

Di samping itu, negeri Johor juga mempunyai Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam 1991 yang melarang penggunaan kalimah-kalimah yang dikhususkan secara eksklusif untuk umat Islam dan tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam kecuali dalam keadaan-keadaan yang dibenarkan oleh perundangan.

Justeru, Sultan Yang Dipertuan bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim ini menitahkan agar rayuan prosiding oleh Kerajaan Persekutuan diteruskan dan mengarahkan Majlis Agama Islam Negeri Johor mengambil tindakan sewajarnya bagi menyokong usaha rayuan ini.

“Selaku Ketua Agama Islam di negeri Johor, saya menyeru kepada Kerajaan Persekutuan agar meneruskan rayuan dalam prosiding ini. Malah, saya akan mengarahkan Majlis Agama Islam Negeri Johor mengambil apa-apa tindakan yang perlu dan wajar bagi menyokong usaha rayuan ini.”

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button