Tempatan

Kenakan Hukuman Lebih Keras Pada Penghina Nabi – Mufti Pulau Pinang

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

GEORGETOWN, 19 Julai 2022 – “Demi memelihara kestabilan negara dan kesejahteraan hidup bermasyarakat, pihak berkuasa perlu sentiasa bertindak tegas terhadap sesiapa sahaja yang menghina peribadi Nabi Muhammad S.A.W. yang mulia itu dan seterusnya dikenakan hukuman yang lebih keras.”

Menurut Utusan Malaysia, Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berpendapat, undang-undang sedia ada perlu disemak semula dan diperketatkan supaya dapat membendung individu atau pihak yang tidak bertanggungjawab mengulangi perbuatan menghina agama Islam dan Nabi Muhammad S.A.W.

Katanya, orang ramai hendaklah menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengatasi isu penghinaan itu mengikut saluran undang-undang sedia ada dan tidak bertindak sendirian untuk menghukum sesiapa yang menghina Baginda Rasulullah S.A.W.

Terdahulu, tular satu video menghina Islam di laman sosial menunjukkan seorang lelaki didakwa menghina Allah S.W.T. dan Nabi Muhammad S.A.W. dengan kata-kata makian.

Video yang berdurasi 36 saat itu menunjukkan lelaki itu mencabar orang Melayu dan Islam supaya bertemu dengannya.

Sebelum ini juga, tular satu video penghinaan ke atas agama Islam apabila seorang wanita menanggalkan baju kurung dan tudungnya bagi mendedahkan sebahagian auratnya di atas pentas komedi selepas mengaku telah menghafaz 15 juzuk al-Quran.

Terbaharu, lelaki Kelantan pula tular kerana menghina Islam.

Menurut siasatan, lelaki itu mengaku memuat naik video berdurasi 4 minit 14 saat yang menyebut perkataan penghinaan terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad S.A.W.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: