Kebiadapan Jurucakap BJP Menghina Nabi Muhammad S.A.W & Ketiadaan Respon Tegas Malaysia – PEJUANG MUDA
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
1.PEJUANG Muda Malaysia mengecam sekeras-kerasnya kenyataan yang dibuat oleh seorang jurucakap rasmi Bharatiya Janata Party (BJP), Nupur Sharma dalam sebuah wawancara televisyen yang menghina Nabi Muhammad S.A.W dan isteri baginda, Saidatina ‘Aishah R.A. serta diikuti dengan tulisan di Twitter oleh Naveen Kumar Jindal, pemimpin BJP Delhi yang menyokong penghinaan tersebut.
2. Tindakan mereka yang mewakili BJP adalah perkara yang boleh dijangka dan bukanlah baru. BJP yang menguasai parti pemerintah India dan dipimpin Perdana Menteri, Narendra Modi terkenal dengan beberapa polisi dan kenyataan berterusan yang dilihat sangat anti-Islam di peringkat Pusat dan Negeri.
3. Negeri-negeri yang dikuasai BJP seperti di Karnataka yang diketuai Ketua Menteri dari BJP, Basavaraj Bommal telah bertindak mengharamkan pemakaian tudung oleh para pelajar Muslimah di kampus dan bangunan pendidikan.
4. Sungguhpun tindakan terhadap kedua-dua individu yang terlibat dalam penghinaan terhadap Nabi Muhammad S.A.W. telah diambil, ia masih belum memuaskan hati banyak negara Islam kerana dianggap tidak bersifat punitif dan mencukupi. Qatar, Kuwait, Iran dan beberapa negara lain telah menerbitkan Nota Bantahan Diplomasi dan memanggil Duta India untuk mendapatkan penjelasan terhadap hal tersebut.
5. PEJUANG Muda Malaysia ingin mendesak Wisma Putra dan Kerajaan Malaysia menggerakkan tindakan diplomatik sebagai tanda kutukan keras dari Malaysia bagi mempertahankan kesucian kedudukan Baginda Nabi Muhammad S.A.W. Ketiadaan sebarang respon rasmi dan segera dari Kerajaan Malaysia setelah beberapa hari isu ini meletus di peringkat antarabangsa adalah sangat mendukacitakan dan memalukan.
DR. ABU HAFIZ SALLEH HUDIN
Ketua PEJUANG Muda Malaysia
Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG)
7 JUN 2022
Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my