Tempatan

Gubal Akta Baharu Tangani Sentimen Perkauman Dan Keagamaan

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 21 Julai 2022 – Sudah tiba masanya satu perundangan khusus digubal bagi menangani sentimen perkauman dan keagamaan di negara ini, tulis Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong, Felo Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara dalam ruangan Rencana di akhbar Utusan.

Katanya, insiden mengapi-apikan sentimen perkauman dan keagamaan yang semakin berleluasa akhir-akhir ini sudah semakin memburuk sehinggakan satu tindakan segera perlu diambil.

Jelas beliau, tindakan segera itu amatlah perlu supaya keharmonian sosial dan perpaduan negara tidak tergugat dan terancam.

Ucapan kebencian yang mengandungi kenyataan sensitif mampu menimbulkan kebencian, kemarahan serta keganasan dan akhirnya bakal mengundang kejadian yang tidak diingini, katanya.

Mengulas lanjut, berkemungkinan kenyataan sensitif yang dilontarkan dituju buat individu yang juga ahli kepada sesuatu kelompok kaum atau agama.

Ia sekali gus menarik ahli-ahli lain yang turut tersentuh untuk bertindak balas atas dasar etnik dan agama kerana kehormatan individu terbabit diibaratkan sama seperti maruah seluruh kaumnya atau ummah agama yang dianuti.

Ekoran itu, ujar beliau, perundangan khas yang ketat dan tegas harus diadakan sehinggakan mereka yang melontarkan ucapan kebencian ini tiada hak untuk diikat jamin sekali gus ketenteraman awam dapat dipelihara.

Baru-baru ini, negara digemparkan dengan isu penghinaan Islam yang dilakukan seorang lelaki menerusi rakaman videonya yang tular di laman media sosial.

Malah, negara turut digemparkan oleh Siti Nuramira Abdullah, seorang wanita yang tular media sosial susulan tindakannya menanggalkan baju dan tudung sewaktu melakukan persembahan di sebuah kelab komedi serta mendakwa dirinya mengakui menghafal 15 juzuk al-Quran. Tindakannya itu didakwa mendatangkan rasa tidak harmoni dalam kalangan orang Islam.

Justeru, kata beliau, Malaysia memerlukan penggubalan perundangan berhubung penggunaan bahasa jelik yang bukan sahaja digunakan untuk ketenteraman awam, moraliti awam dan kesantunan awam tetapi juga demi tuntutan kedaulatan, perpaduan serta keselamatan negara.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: