Tempatan

Hujan Lebat Berterusan, Klang Pula Dinaiki Air

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KLANG, 24 Jun 2022 – Hujan lebat berterusan sejak awal pagi tadi mengakibatkan beberapa kawasan di Klang dan Kuala Langat dinaiki air.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian banjir di Jalan Pengkalan Kampung Nelayan pada jam 6.12 pagi tadi.

Jelasnya, sebuah jentera pacuan empat roda bersama bot aluminium dan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan itu.

“Bomba menerima maklumat berlaku banjir kilat membabitkan sebuah rumah dinaiki air sehingga paras lutut.”

“Rumah berkenaan dihuni seorang warga emas, seorang dewasa serta tiga kanak-kanak di mana mereka sudah berpindah menyelamatkan diri sebelum pihak bomba tiba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Seterusnya beliau memberitahu, pihaknya turut menerima panggilan berhubung kejadian sama di Jalan Perepat, Telok Panglima Garang dalam Daerah Kuala Langat, jam 7.19 pagi tadi.

“Pasukan penyelamat tiba pada jam 7.24 pagi dan mendapati berlaku banjir kilat melibatkan lima buah rumah,” katanya.

“Bomba memindahkan satu keluarga terdiri dari dua warga emas, dua dewasa dan satu bayi berusia enam bulan ke rumah keluarga mangsa berhampiran,” katanya.

Difahamkan bahawa banjir kilat ini melibatkan 5 orang mangsa dari Jalan Pengkalan Kampung Nelayan dan 64 orang mangsa dari Jalan Perepat, Telok Panglima Garang.

“Namun keadaan kini terkawal dan air banjir dalam trend menurun,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, beliau memaklumkan sebuah pokok telah tumbang dan menghempap empat kenderaan di Jalan Samudera, Pulau Indah sekitar 5.24 pagi tadi namun tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: