Guni Pasir Halang Banjir, Penduduk Mahu Saman DBKL
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 26 September 2022 – Sekumpulan penduduk Kuala Lumpur bakal meneruskan saman bagi memaksa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim supaya memberi maklumat terperinci mengenai langkah tebatan banjir yang diambil dengan menggunakan guni pasir untuk menyekat air.
Diketuai bekas Presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan, penduduk menyampaikan surat kepada Menteri berkenaan pada 21 September lalu, menyatakan mereka akan membawa DBKL dan Datuk Seri Dr Shahidan ke mahkamah dalam tempoh lima hari jika maklumat mengenai rancangan tebatan banjirnya tidak dikeluarkan, lapor media tempatan.
Oleh yang demikian, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menjelaskan, pihaknya mengambil pelbagai langkah jangka pendek untuk mengatasi banjir kilat buat masa ini, seperti menggunakan guni pasir untuk menyekat air dan meletakkan khemah untuk sukarelawan memantau serta membantu mengalih air banjir, sementara rancangan jangka sederhana dan panjang tetap diteruskan.
“Sementara kita nak siapkan tembok sungai dan pembesaran longkang, kita perlu gunakan tenaga manusia. Apa yang paling penting, pendekatan ini untuk kesenangan rakyat kerana tidak ada banjir kilat.”
“Saya tahu, saya ditegur kerana meletakkan khemah, orang dan pam tetapi apabila banjir kilat berlaku, mereka hentam kita. Apabila kita selesaikan masalah banjir kilat, mereka tegur pula kerana terlampau ramai orang di lapangan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya sudah memberi penerangan dan mengeluarkan pelan jangka pendek, sederhana serta panjang mengenai perkara berkenaan, namun jika ada pihak masih tidak berpuas hati dan mahu mengemukakan saman, itu adalah hak mereka.
“Bagaimanapun, jika nak minta (dokumen) hitam putih, surat peguam dan sebagainya, kita perlu jawab ikut cara perundangan dan ini membabitkan audit. Audit akan buat teguran dan sebagainya.”
“Jika mereka nak saman juga, boleh masuk mahkamah dan dapat publisiti, itu hak mereka tetapi kalau nak minta penjelasan, boleh jumpa saya. Esok atau malam ini pun boleh,” ujar Menteri Wilayah Persekutuan.