Tempatan

“Ini Banjir Kedua Terburuk Sejak 15 Tahun Lalu” – Mangsa

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

TAIPING, 30 Ogos 2022 – Rata-rata mangsa banjir menyifatkan banjir kilat yang berlaki beberapa hari lalu sebagai antara yang terburuk pernah berlaku di kawasan tersebut sejak 15 tahun lalu.

“Ini kejadian banjir kedua yang terburuk sejak 15 tahun yang lalu,” kata seorang warga emas Nur Lalilah Yang Yahaya, 79.

Lalilah, penduduk Taman Seri Kota Fasa Dua memberitahu, dia dan suaminya, Mohamad Shaiyuddin Ahmad, 83, sempat menyelamatkan diri semasa kejadian kira-kira pukul 6 petang, Ahad lepas.

“Makcik baru terjaga dari tidur dan terkejut apabila air naik secara mendadak hingga sampai paras pinggang.”

Menurutnya, kawasan perumahan ini memang kerap dilanda banjir kilat setiap kali hujan lebat turun kerana ada sebatang sungai berhampiran.

Namun, selama 43 tahun dia menetap di sini, paras air yang naik pada hari itu agak tinggi baginya berbanding kejadian banjir kilat sebelum ini.

Hujan lebat berterusan pada Ahad lalu telah menyebabkan berlakunya banjir kilat di beberapa kawasan di sini sehingga memaksa sebilangan penduduk terpaksa berpindah ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai (DOR) Air Kuning, Changkat Jering dan DOR Sungai Baru, Trong.

“DOR Air Kuning dibuka pada jam 8 malam bagi menempatkan 11 keluarga dari Kampung Larut Ulu. Seramai 41 orang membabitkan 18 lelaki termasuk kanak-kanak dan bayi serta 23 wanita ditempatkan di sana,” kata Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak dalam satu kenyataan pada Isnin lalu.

“Manakala seramai 14 orang dari Kampung Sungai Nyior ditempatkan di Dewan Orang Ramai Sungai Baru selepas PPS berkenaan dibuka pada jam 3 pagi.”

“Laporan akan dikemaskini dari masa ke semasa dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan (Rela) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah ditugaskan di kedua-dua PPS berkenaan.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: