Kolam Takungan Inisiatif Selangor Atasi Banjir Kilat
KLANG, 18 Julai 2023 – Selangor memperuntukkan sebanyak RM7.3 juta bagi membina kolam takungan di Taman Mutiara Bukit Raja, Klang bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan sekitar.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor, Ir Izham Hashim berkata, pembinaan kolam takungan merupakan langkah efektif yang diperoleh menerusi mesyuarat yang diadakan bagi menangani isu banjir kilat dan pengurusan sistem saliran di Selangor.
BACA JUGA: ‘Akta Negara Bangsa’ Tangani Isu 3R Di Malaysia – Azalina
BACA JUGA: Mossy Forest Ditutup Sementara Waktu
BACA JUGA: Didakwa Akta Hasutan, Sanusi Mengaku Tidak Bersalah
“Pembangunan di Selangor terlalu tinggi dan laporan diterima daripada konsultan menunjukkan ‘urban heat’ meningkat yang menyebabkan kekerapan hujan lebat berlaku.”
“Jadi kolam takungan ini merupakan satu keperluan yang berfungsi untuk menakung air supaya air tidak dilepaskan secara serentak,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Kolam Takungan di Taman Mutiara Bukit Raja, pada Isnin.
Menurutnya, projek ini bukan sahaja memanfaatkan lebih 1,000 penduduk di Taman Mutiara Bukit Raja sebaliknya pihak dan pengguna lebuh raya yang bersebelahan juga turut menerima faedah ini.
Kolam sedalam 1.7 meter itu katanya mampu menampung air sehingga 7 kubik per saat (cumec) sebelum dilepaskan secara berperingkat bagi mengatasi isu banjir kilat.
“Jika nak selenggara keseluruhan longkang, kita tidak mampu kerana melibatkan kos tinggi jadi penyelesaiannya ialah dengan cara pembinaan kolam takungan.”
Ujarnya, kolam takungan itu penting susulan kedudukan lokasi yang rendah menyebabkan masalah ‘air termenung’ yang masalah itu diatasi melalui pemasangan pam air untuk melancarkan aliran air.