Tempatan

Hina Islam: Jangan Ambil Tindakan Sendiri – Menteri Agama

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 22 Julai 2022 – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Yang Berhormat Senator Ustaz Datuk Haji Idris Ahmad dalam satu sidang media menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri tanpa mengikut lunas undang-undang sedia ada jika kesucian agama Islam dihina oleh pihak tertentu.

“Saya tidak mahu orang awam membuat tindakan mereka sendiri jika mengetahui ada pihak melakukan penghinaan terhadap kesucian agama Islam.”

Beliau menyatakan sedemikian kerana menurutnya undang-undang yang ada di Malaysia adalah mencukupi untuk menghukum individu atau pihak yang menghina kesucian agama Islam.

Tambah Datuk Haji Idris Ahmad, Malaysia mempunyai beberapa badan berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan semua agensi penguat kuasa yang ada amat cekap dalam melakukan tugas mereka.

“Saya berterima kasih kepada mereka atas tindakan pantas terhadap isu penghinaan terhadap agama Islam yang banyak berlaku kebelakangan ini.”

Dalam pada itu, Datuk Haji Idris Ahmad memaklumkan bahawa Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa berusaha membuat penyelesaian jangka panjang tentang isu penghinaan terhadap agama Islam ini dengan dua kaedah.

“Pertama kita cuba untuk memberikan pendidikan seperti usaha dakwah, turun ke lapangan, menganjurkan majlis kefahaman agama seperti hari ini dan sebagainya kepada orang awam.”

“Keduanya ialah sistem hukuman itu sendiri yang mana pesalah perlu dihukum mengikut undang-undang sedia ada,” ujar Datuk Haji Idris Ahmad.

Sebelum ini, Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) Hj Aminuddin Yahaya mengingatkan rakyat Malaysia agar tidak sesekali terdetik dalam hati untuk menghina dan mempersendakan agama Islam supaya perkara-perkara yang tidak dapat dikawal dan tidak diingini tidak terus berlaku dengan lebih teruk sehingga mencapai tahap huru-hara walaupun sesama seagama dan sebangsa.

Hj Aminuddin Yahaya dalam kenyataan Facebooknya berkata, penghinaan terhadap agama Islam secara terbuka bermakna mencabar seluruh masyarakat yang beragama Islam dan apabila ia berlaku, seluruh anggota sesebuah masyarakat, memang susah untuk mengawal tindak-tanduk dan rasional setiap orang.

“Pasti akan ada hilang pertimbangan dan akhirnya ‘sahut’ cabaran tersebut. Apatah lagi memang ‘cabaran’ itu dinyatakan secara jelas oleh penghina agama itu. Kalau dah hilang pertimbangan, pasti akan bertindak di luar jangkaan. Itu kita kena ingat.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: