Tempatan

JAKIM Bawah Seliaan MRR? Tunggu Kenyataan Rasmi – Profesor Shamrahayu

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 12 Mac 2022 – “Apa-apa pun, kita tunggu kenyataan atau maklumat rasmi. Tak perlu lompat-lompat dulu,” jawab Profesor Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz di dalam Facebooknya mengenai isu terbaru yang dilaporkan oleh pihak media – JAKIM diletakkan bawah Majlis Raja-Raja Melayu.

Beliau menegaskan belum mendapat maklumat atau kenyataan rasmi tentang perkara ini. Oleh itu, ulasan beliau kepada berita yang dilaporkan lebih kepada penerangan tentang kedudukan JAKIM atau nama penuhnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dalam struktur pentadbiran Islam pada peringkat Persekutuan.

Menjawab hujah sesetengah pihak bahawa JAKIM tidak ada tempat dalam Perlembagaan Persekutuan dan penubuhan JAKIM dikatakan sebagai tidak berperlembagaan, Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM itu menegaskan bahawa JAKIM mempunyai asas penubuhan yang sah dan ia adalah berperlembagaan.

“JAKIM adalah satu organisasi yang ditubuhkan mengikut lunas-lunas dan peruntukan-peruntukan bersandarkan Perlembagaan Persekutuan. Maka, tidak timbul pun soal ia berperlembagaan atau tidak,” ujar beliau dalam satu kenyataan sebelum ini.

Tambah Profesor Datuk Dr Shamrahayu, selain daripada JAKIM, mungkin tidak ramai yang mengenali satu institusi Islam yang penting dalam urusan hal ehwal Islam pada peringkat Persekutuan. Institusi tersebut ialah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

MKI ditubuhkan pada 1 Julai 1969 dengan nama Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Barat. Ia kemudiannya dikenali sebagai Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam apabila Sabah dan Sarawak menyertai MKI.

Ujar beliau, kita semua tahu bahawa Islam adalah urusan negeri dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja Pemerintah adalah Ketua Agama Islam. Maka Agama Islam (termasuk juga adat resam, adat Melayu atau adat Istiadat) adalah di bawah kuasa budi bicara Baginda.

Bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai raja, Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam. Ini kerana Yang di-Pertua Negeri mungkin tidak menganut agama Islam, jadi adalah difikirkan perlu untuk Yang di-Pertuan Agong mewakili institusi beraja diangkat menjadi Ketua Agama Islam di negeri-negeri tersebut.

“Apabila pentadbiran Islam di seluruh negara dibuat mengikut negeri dan berasingan, maka Jawatankuasa Kerja yang ditubuhkan untuk mengkaji semula draf laporan dan draf awal Perlembagaan Persekutuan yang dibuat oleh Suruhanjaya Reid telah mencadangkan supaya ditubuhkan satu mekanisme untuk penyelarasan.”

“JAKIM atau awalnya yang ditubuh sebagai urusetia kepada mana-mana Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam (MKI) ialah untuk menghubungkan atau berperanan sebagai perantara antara Negeri dengan Persekutuan,” kata beliau lagi dalam kenyataan terdahulu.

MKI diurus berasaskan kepada Peraturan MKI yang diluluskan oleh Majlis Raja-Raja. Peraturan ini telah beberapa kali melalui pindaan yang mana kesemua pindaan tersebut adalah atas perkenan Majlis Raja-Raja. Justeru, keurusetiaan MKI yang dilaksanakan JAKIM juga seharusnya berasaskan kepada Peraturan MKI.

“MKI bukan sahaja penubuhannya diperkenan oleh Majlis Raja-Raja, tetapi juga keahliannya juga mendapat perkenan Majlis Raja-Raja,” kata beliau.

Menyentuh mengenai isu terbaharu tentang laporan media bahawa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dilantik oleh Majlis Raja-Raja sebagai Pengerusi Majlis Agama Kebangsaan (yang sebetulnya MKI) dan dalam berita yang sama, akhbar menyampaikan bahawa JAKIM berada di bawah seliaan (The Star (sebelum ini) menggunakan istilah purview) Majlis Raja-Raja, Profesor Datuk Dr Shamrahayu berkata,

“Sekiranya maklumat rasmi atau titah dikeluarkan oleh Majlis Raja-Raja atau Yang di-Pertuan Agong dizahirkan, saya insyaAllah akan cuba mengulas dan memberi pandangan. Media yang membuat laporan tersebut tidak menyatakan sumber berita, cuma disebut dari sumber dalam istana,” ujar beliau lagi.

Leave a Reply

Back to top button