Antarabangsa

Lebih 703,000 Kes Bunuh Diri Setahun – WHO

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

UNITED KINGDOM, 12 September 2022 – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan kira-kira 703,000 kes kematian membunuh diri dicatatkan pada setiap tahun di seluruh dunia dengan purata satu kematian adalah setiap 40 saat.

“Bagi setiap kes bunuh diri, berkemungkinan terdapat 20 orang lain turut melakukan percubaan bunuh diri dan ramai lagi yang mempunyai pemikiran yang serius untuk membunuh diri.”

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu kenyataan media melaporkan kes bunuh diri di Malaysia telah meningkat sebanyak 81% pada tahun lepas dengan 1,142 kes berbanding 631 kes pada 2020.

Jumlah tersebut adalah berdasarkan rekod PDRM yang turut melaporkan 467 kes bunuh diri dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Menurut Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin bunuh diri adalah satu daripada 10 penyebab utama kematian di dunia dan penyebab keempat bagi mereka yang berusia 15 tahun hingga 29 tahun.

“Bagi setiap nyawa yang terkorban, dianggarkan 135 ahli keluarga atau rakan akan terkesan serta mengalami impak secara emosi, sosial dan ekonomi,” katanya.

Tambah beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus komited mendidik dan melatih masyarakat Malaysia berhubung masalah kesihatan mental, pencegahan tingkah laku bunuh diri serta menghapuskan stigma terhadap tingkah laku itu.

“Dengan usaha itu, kita berharap individu yang terkesan akan mendapat bantuan dan sokongan, seterusnya dapat menurunkan kadar kematian akibat bunuh diri.”

Faktor penyumbang tingkah laku bunuh diri ini adalah pelbagai dan kompleks, seperti isu psikososial dan persekitaran, isu kewangan merangkumi kehilangan sumber pendapatan atau pekerjaan, penyakit mental seperti kemurungan, kurang sokongan sosial dan penyalahgunaan substans,” ujar beliau dalam satu kenyataan sempena Hari Pencegahan Bunuh diri Sedunia 2022.

Menteri Kesihatan itu memaklumkan bahawa tindakan segera bersama amat penting di setiap peringkat bagi menangani isu tingkah laku bunuh diri, membabitkan individu, keluarga, komuniti, pihak berkepentingan seperti pembuat dasar, ahli politik, semua agensi Kerajaan dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: