Pukul Anak Angkat Sebab Tak Suka Makan Nasi
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 22 Julai 2022 – Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dipercayai dipukul menggunakan penyangkut baju, kayu penyapu serta dicucuh pemetik api oleh sepasang suami isteri hanya kerana enggan makan nasi.
Kata Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki pada jam 12.40 tengah malam tadi berhubung kejadian berkenaan.
“Kejadian dipercayai berlaku pada 18 Julai lalu di sebuah rumah di Taman Perumahan di Beranang. Mangsa adalah anak angkat kepada pasangan suami isteri dicederakan atau didera oleh pasangan berkenaan,” ujar beliau.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku disebabkan kanak-kanak berkenaan tidak suka makan nasi sehinggakan suspek memaksanya untuk menelan nasi sehingga termuntah.
Malah, suspek turut mendakwa kanak-kanak yang merupakan anak kepada warga Indonesia itu seorang yang hiperaktif, kata beliau.
“Kelahiran mangsa tidak pernah didaftarkan dan tiada apa-apa dokumen pengenalan diri. Mangsa kemudian diserahkan kepada suspek untuk dijaga sejak April lalu kerana ibu kandungnya tidak mampu menjaganya.”
Tambah beliau, hasil rawatan di Hospital Kajang mengesahkan mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan.
Suspek suami isteri yang masing-masing berusia 28 dan 30-an bagaimanapun ditahan hari ini susulan daripada laporan polis yang dibuat.
Baru-baru ini, sebuah video berdurasi 27 saat yang menunjukkan seorang wanita sedang memukul kanak-kanak menggunakan kayu penyapu telah tular di laman media sosial.
“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001.”
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor K Suresh ditalian 017-4333795,” ujar beliau.