Tempatan

Jawatankuasa Kes Adib Minta Orang Awam Kongsi Maklumat

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SHAH ALAM, 17 Mac 2022 – Orang awam diminta untuk berkongsi sebarang maklumat atau bukti bergambar serta video berkaitan kes kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim kepada Jawatankuasa Khas Siasatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, mereka yang tidak berpeluang tampil ke depan untuk memberi maklumat boleh menghubungi sekretariat di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang iaitu Yusof Ali menerusi talian 03-88851920 atau emel: [email protected] dan Sanjeetha Nair di talian 03-88851209 atau emel: [email protected]

Oktober lalu, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh dan telus terhadap kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Wan Junaidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Siasatan dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan telah mendengar pembentangan Laporan Interim yang merupakan laporan kemajuan daripada ahli-ahli Jawatankuasa Khas Teknikal.

“Laporan ini telah disiapkan dalam tempoh ditetapkan iaitu tiga bulan dari tarikh ditubuhkan dan telah dibentangkan pada hari ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata laporan itu berdasarkan maklumat sedia ada serta tindakan-tindakan yang telah diambil oleh ahli-ahli Jawatankuasa Teknikal dalam mendapatkan fakta lanjut berkaitan kes ini.

Jelasnya, bagi memastikan laporan yang dihasilkan dapat diterjemahkan dengan telus, adil dan saksama, proses pencarian fakta dilaksanakan secara intensif sejak Januari lalu dengan kerjasama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Peguam Negara.

Leave a Reply

Back to top button