Antarabangsa

AS Tentang Penempatan Haram Yahudi Di Palestin

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

WASHINGTON, 06 Disember 2022 –  Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken mengulangi pendirian untuk menentang sekeras-kerasnya penempatan dan penindasan haram Yahudi di wilayah Palestin, terutamanya di Tebing Barat.

“AS akan terus menentang sebarang tindakan yang boleh menjejaskan penyelesaian dua negara, termasuk isu penempatan dan penindasan haram di Tebing Barat, merobohkan rumah penduduk Palestin, mengusir keluarga Palestin dan mencetuskan provokasi sehingga berlakunya rusuhan ganas,” katanya.

Blinken berkata demikian dalam wawancara bersama J Street sambil mengucapkan tahniah kepada Benjamin Netanyahu di atas kemenangannya dalam pilihan raya umum Israel, November lalu.

Dalam wawancara berkenaan, Blinken mengatakan AS tidak akan menilai Netanyahu berdasarkan personaliti, tetapi lebih kepada polisi yang dilaksanakannya.

Netanyahu dijangka mengambil alih semula tampuk pentadbiran Israel dalam beberapa hari akan datang selepas menjalin pakatan dengan pergerakan kanan ekstrem, Religious Zionism yang diberi tugas untuk meneruskan pendudukan haram di Tebing Barat.

Kemenangan Netanyahu membuatkan penduduk Palestin semakin bimbang akan pembinaan penempatan haram di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur seperti zaman pemerintahan Netanyahu dahulu.

Dalam pada itu, Blinken menolak langkah normalisasi antara beberapa negara Arab dengan Israel sebagai ‘usaha perdamaian’ melibatkan Israel dengan Palestin.

“Hubungan normalisasi itu bukan pengganti kepada usaha damai antara Israel dan Palestin kerana isu kedua-dua negara itu lebih besar dan kompleks.”

“Sehubungan itu, AS sentiasa komited untuk memastikan penyelesaian dua negara dapat dicapai segera,” ujarnya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: