Khalil Awawdeh Tangguh Mogok Selepas 172 Hari, Bebas 2 Oktober Ini
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
RAMALLAH, 01 September 2022 – Selepas 172 hari melancarkan mogok lapar, tahanan Palestin, Khalil Awawdeh menangguh mogok laparnya dan bakal dibebaskan pada 2 Oktober ini.
Yayasan Muhjat Al-Quds melaporkan sedemikian selepas mencapai persetujuan bertulis mengenai pembebasan Khalil.
Tegas yayasan itu, “Kemenangan Khalil dalam pertempuran mogok lapar dan rampasan kebebasannya ini menambah rekod kemenangan gerakan tahanan terhadap penahanan pentadbiran rejim Israel yang dibuat sewenang-wenangnya.”
Persetujuan yang dicapai menetapkan bahawa Khalil ditahan di Hospital Assaf Harofeh sehingga sembuh.
Muhjat Al-Quds turut menyeru keperluan untuk mendedahkan amalan pendudukan rejim haram ini kepada mata dunia akibat daripada penangkapan rakyat Palestin sewenang-wenangnya tanpa sebarang pertuduhan.
Lapor media Arab, peguam tahanan itu mengatakan, pihak pendakwa rejim haram aparteid Israel berikrar untuk tidak melanjutkan penahanan pentadbiran Khalil Awawdeh.
Walaupun mahkamah pendudukan rejim Israel enggan membebaskan tahanan ini, keputusan tersebut diambil berikutan keadaan kesihatan Khalil, yang tidak pernah berlaku pada mana-mana tahanan yang melancarkan mogok lapar sebelum ini.
“Tanda-tanda menunjukkan bahawa sebarang komplikasi akan meletakkan Khalil di kalangan para syuhada, “ujar Persatuan Tahanan Waed.
Samudera.my sebelum ini melaporkan mengenai gesaan pembebasan tahanan Palestin, Khalil Awawdeh oleh Delegasi Kesatuan Eropah (EU) ke Palestin.