Menteri Kanan Netanyahu Ceroboh Masjid Al-Aqsa
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
BAITULMUQADDIS, 03 Januari 2023 – Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir telah memasuki perkarangan Masjid Al-Aqsa di Timur Baitulmuqaddis dan tindakannya itu telah mengundang kecaman dari warga Palestin yang menyifatkan perbuatan tersebut sebagai “provokasi baharu yang tidak pernah berlaku sebelum ini”.
Ben-Gvir telah kelihatan memasuki tapak masjid tersebut pada Selasa lalu dan diiringi oleh kawalan keselamatan yang ketat. Menurutnya, “Kerajaan kami tidak akan menyerah terhadap ugutan pihak Hamas”.
Kenyataan tersebut dibuat setelah sebuah kumpulan warga Palestin yang mentadbir kawasan Semenanjung Gaza memberi amaran bahawa perbuatan Ben-Gvir itu adalah melampaui batasan.
Ben-Gvir sebelum ini telah lama menyeru agar lebih banyak akses diberikan kepada orang Yahudi terhadap tapak suci itu, di mana seruan tersebut telah dilihat oleh rakyat Palestin sebagai sebuah tindakan yang bersifat provokatif. Manakala rabbi-rabbi utama Yahudi pula sebenarnya tidak membenarkan orang Yahudi melakukan upacara keagamaan mereka di sana.
Setelah menjejakkan kaki ke tapak masjid tersebut, Ben-Gvir membuat sebuah hantaran di Twitter dengan menyatakan,
“..ianya terbuka kepada semua dan jika Hamas berfikir bahawa jika ianya mengugut saya dan menghalang saya, mereka patut faham bahawa zaman sudah berubah.”
Berkenaan tindakan biadab menteri Israel tersebut, Menteri Luar Palestin telah mengeluarkan kenyataan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pencerobohan Masjid Al-Aqsa oleh menteri tersebut dan beliau melihat isu ini sebagai sebuah provokasi baharu dan ianya berpotensi menambahkan ketegangan yang sedia ada.