Rentetan Kisah Benar An Nakbah, Zionis Bantah Tayangan ‘Farha’ Di Netflix
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
RAMALLAH, 05 Disember 2022 – Rejim haram aparteid Israel mula membantah tayangan filem ‘Farha’ di Netflix yang mengisahkan penghapusan etnik Palestin oleh tentera Israel dalam peristiwa An-Nakbah pada tahun 1948.
Farha, filem sulung Darin Sallam, pengarah warga Jordan, menceritakan pengalaman seorang gadis berusia 14 tahun yang menyaksikan pembunuhan seluruh ahli keluarganya termasuk seorang bayi, apabila tentera rejim haram Israel menyerbu kampungnya dan membunuh orang awam dalam peristiwa An-Nakbah.
Filem tersebut telah mula ditayangkan pada tahun lepas dan merupakan penyertaan Oscar Jordan pada 2023. Ia juga telah disiarkan menerusi platform Netflix pada 1 Disember lalu sekali gus mendapat kritikan daripada beberapa pegawai Israel.
Menteri kewangan Israel, Avigdor Lieberman berkata, “Tak masuk akal Netflix menyiarkan filem yang bertujuan untuk mencipta dakwaan palsu dan hasutan terhadap tentera Israel.”
Selain itu, Chili Tropper, Menteri Kebudayaan rejim haram berkata bahawa Farha memaparkan ‘pembohongan dan fitnah’ serta menayangkan filem itu dalam teater Israel adalah ‘memalukan’.
Walau bagaimanapun, kritikan tersebut mendapat tentangan daripada rakyat Palestin dan aktivis yang mempertahankan serta menyokong tayangan Farha.
Penyair dan penulis terkenal Palestin, Mutwakel Taha berpendapat, punca kemarahan Israel adalah kerana kekejaman mereka dalam An-Nakba telah didedahkan kepada dunia melalui filem itu.
“Mereka mahu memonopoli imej mangsa sahaja. Jadi kemarahan mereka adalah kerana rakyat Palestin kelihatan seperti mangsa Israel,” katanya.
Penulis Palestin, Tahsin Yaqeen turut bersetuju dengan kenyataan itu dan berkata, Israel menganggap setiap karya seni atau sastera dari Palestin sebagai serangan.
Tambahnya, “Kami sebagai rakyat Palestin tidak perlu menjelaskan apa yang berlaku pada 1948, sebelum dan selepas itu, kerana dunia sebenarnya tahu apa yang berlaku.”
Penulis itu turut menyarankan rakyat rejim haram menonton Farha dan mendengar cerita rakyat Palestin walaupun tidak bersetuju dengannya.
Mengulas lanjut, Darin Sallam dan penerbit Farha, Dima Azar dan Aya Jardaneh mengecam kritikan terhadap filem berkenaan. Mereka mengkritik kempen media sosial yang menyasarkan penarafan filem itu di IMDb, percubaan untuk menghentikan tayangan di teater dan ugutan pembatalan langganan Netflix.