Antarabangsa

Kegiatan Ketenteraan China Bakal Berterusan, Amerika Dan Jepun Risau

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PHNOM PENH, 06 Ogos 2022 – Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken mengecam latihan ketenteraan China – yang juga termasuk menembak peluru berpandu ke zon ekonomi eksklusif Jepun – dan menyifatkannya sebagai “peningkatan yang ketara”.

“China telah memilih untuk bertindak keterlaluan dan menggunakan lawatan Speaker Pelosi sebagai alasan untuk meningkatkan aktiviti ketenteraan provokatif di dalam dan sekitar Selat Taiwan,” kata Blinken pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asia Tenggara di ibu negara Kemboja, Phnom Penh pada hari Jumaat.

Portal antarabangsa melaporkan, Jepun melancarkan protes diplomatik selepas mengumumkan bahawa lima daripada sembilan peluru berpandu yang dilepaskan ke arah wilayahnya telah mendarat di zon ekonomi eksklusif (EEZ).

Berikutan kejadian ini, China pada mulanya dilaporkan mahu bertemu dengan pegawai Jepun yang turut hadir ke Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asia Tenggara, namun, China kemudiannya membatalkan rancangan pertemuan tersebut.

Semalam, China melancarkan 11 peluru berpandu sekitar perairan pantai timur laut dan barat daya Taiwan sebagai sebahagian daripada latihan ketenteraan terbesar berikutan lawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) Nancy Pelosi ke pulau tersebut.

Menurut Komando Teater Timur Tentera China dalam satu kenyataan, latihan tersebut memberi tumpuan kepada sesi latihan utama termasuk sekatan bersama, serangan sasaran laut, serangan ke atas sasaran darat dan operasi kawalan ruang udara.

Berikutan itu, syarikat penerbangan Asia, termasuk Singapore Airlines dan Korean Air, telah mengarahkan semula atau membatalkan penerbangan pada hari Jumaat.

Leave a Reply

Back to top button