Menjelang Aidiladha, Rakyat Palestin Masih Dibunuh
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PALESTIN, 08 Julai 2022 – Seorang lelaki Palestin telah dibunuh oleh tentera Israel semasa serbuan di Tebing Barat.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Kesihatan Palestin memaklumkan, Rafiq Riyad Ghannem, 20, telah ditembak pada hari Rabu, berhampiran bandar Jenin di utara Tebing Barat.
Menurut saksi, Rafiq dibunuh dalam pertempuran semasa tentera Israel menyerbu beberapa rumah di bandar itu.
“Tentera Israel menggunakan tembakan hidup dan gas pemedih mata untuk menyuraikan rakyat Palestin.”
“Kerana itu Rafiq cedera dan ditangkap oleh tentera Israel dan kemudiannya meninggal dunia,” kata saksi.
Rafiq merupakan rakyat Palestin kedua dari Jaba yang terbunuh dalam beberapa hari kebelakangan ini.
Sebelum ini, menurut Kementerian Luar Palestin, seorang remaja Kamel Abdallah Alwaneh telah meninggal dunia sehari selepas dia ditembak oleh tentera Israel.
Pasukan keselamatan Israel telah melancarkan serbuan hampir setiap hari di Tebing Barat.
Kesannya, sekurang-kurangnya 50 rakyat Palestin telah terbunuh sejak akhir Mac, termasuklah wartawan Al Jazeera, Shireen Abu Akleh yang dibunuh semasa membuat liputan serangan tentera Israel di Jenin.