Harga Simen Naik, Kontraktor Seluruh Negara Terbeban
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
BATU CAVES, 06 Disember 2022 – Harga simen yang melonjak naik sehingga RM22.50 setiap beg seberat 50 kilogram telah mengakibatkan kontraktor di seluruh negara terbeban dengan kawalan kos projek.
Sejak pembubaran Parlimen pada Oktober lalu, harga simen yang merupakan salah satu daripada Barangan Kawalan Berjadual, meningkat sehingga 30 peratus daripada RM17 setiap beg seberat 50 kilogram.
Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan berkata, apabila harga simen yang merupakan bahan asas pembinaan mencanak naik, harga barangan lain yang menggunakan simen seperti bumbung dan longkang juga akan turut naik.
Ujarnya, kenaikan itu tidak sewajarnya berlaku tanpa sebab munasabah, lebih-lebih lagi ia merupakan bahan asas utama sektor pembinaan.
“Simen adalah barangan kawalan kerajaan, harga tak boleh dinaikkan sesuka hati, apatah lagi ia berlaku sewaktu perubahan pentadbiran kerajaan. Kita sangat berharap kerajaan baharu ini memantau perkara ini dan menurunkan semula harganya ke harga sebelum ini,” kata beliau.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Persatuan Kontraktor Perumahan Malaysia, Adnan Mohd. Farok turut mengesahkan kenaikan harga barangan itu sejak pembubaran Parlimen dan mengatakannya sebagai akibat daripada ketidakstabilan politik.
“Peningkatan harganya pasti akan meningkatkan harga bahan-bahan yang lain yang ada kaitan dengan simen. Sehingga hari ini, harganya masih tidak turun dan kekal pada paras RM22.50 bagi satu beg 50 kilogram.”
Turut dilaporkan, seorang pemilik kedai perkakasan di Dengkil tidak tahu punca kenaikan harga bahan itu dan terpaksa menjualnya dengan nilai lebih tinggi kerana mendapat bekalan pada harga tinggi juga.
Manakala seorang lagi peniaga kedai bahan binaan di Bangi mengatakan bahawa dia terpaksa menjual pada harga tinggi kerana ingin mengekalkan margin keuntungan.