Tempatan

Tindakan Tegas Jika Tak Guna Bahasa Melayu – CUEPACS

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 02 Mac 2022 – CUEPACS mencadangkan agar tindakan tegas perlu diambil jika gagal mematuhi pekeliling baharu yang dikeluarkan pihak kerajaan dalam usaha untuk memartabatkan penggunaan bahasa Melayu di jabatan dan kementerian.

Datuk Adnan Mat, Presiden CUEPACS menyatakan ia adalah satu tindakan yang wajar untuk menggunakan bahasa Melayu dalam sebarang urusan rasmi kerajaan dalam negara sebelum ia digunakan secara meluas di luar negara.

“Jika di dalam negara sendiri pun perkara ini tidak dititikberatkan, bagaimana kita mahu melihat usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu di luar negara,” ujarnya.

Dari sudut pandangan CUEPACS, kebanyakan agensi kerajaan ketika ini masih ada lagi yang tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai medium penyampaian.

Menurutnya, CUEPACS menyokong penuh akan langkah kehadapan yang diambil kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu dalam urusan rasmi kerajaan termasuk sewaktu lawatan kerja di negara luar.

“Sebagai rakyat Malaysia, perkara ini wajar disambut dengan baik semua pihak kerana ia akan memartabatkan bahasa kebangsaan kita di persada antarabangsa dan ia dilakukan banyak negara lain.”

“Langkah yang diambil kerajaan ini adalah bukan langkah yang terkebelakang sebaliknya satu usaha bersungguh untuk memartabatkan semula bahasa Melayu,” katanya.

Adnan mengulas lanjut dengan menyatakan ia bukan satu halangan untuk memartabatkan bahasa Melayu ini kerana perkara ini juga dilakukan oleh negara lain.

CUEPACS tidak menganggap perkara itu sebagai satu masalah berikutan penggunaan teknologi yang semakin canggih tika ini dapat membantu untuk proses penterjemahan.

Baru baru ini, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggunakan bahasa Melayu ketika mesyuarat dua hala dan sidang media semasa melakukan kunjungan rasmi ke Brunei, Kemboja dan Thailand.

“Sebelum ini, saya telah menyatakan bahawa dalam setiap urusan rasmi kerajaan, kita perlu menggunakan bahasa Melayu. Rundingan saya di luar negara juga merupakan urusan rasmi kerajaan. Oleh sebab itu, saya menggunakan bahasa Melayu,” ulasnya.

Ujar PM, sudah tiba masanya untuk memperkasa bahasa Melayu yang juga bahasa kebangsaan dan tiada alasan untuk berasa janggal kerana negara luar malah berbangga dengan bahasa mereka.

Peristiwa itu mendapat pujian daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di mana tindakan PM itu mendapat penghargaan daripada para pejuang dan pencinta bahasa Melayu.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof. Datuk Seri Dr Awang Sariyan berkata peristiwa itu seakan-akan membuka lembaran baharu dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai satu bahasa perhubungan di peringkat antarabangsa.

Justeru, tanggungjawab dalam meningkatkan citra bahasa kebangsaaan bukan sahaja terletak di bahu DBP, universiti atau para cendekiawan bahasa, tetapi seluruh Keluarga Malaysia seharusnya mempunyai azam yang seiring. Goyahnya bahasa kebangsaan dalam pentadbiran negara akan menjadi punca terhadap goyahnya amalan untuk menghayati Rukun Negara.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: