Tempatan

Lambat Selamatkan Rakyat, Menteri Luar Patut Letak Jawatan – Bekas Duta

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 02 Mac 2022 – Mantan Duta Malaysia ke Netherlands, Noor Farida Ariffin menyatakan bahawa Menteri Luar Saifuddin Abdullah patut meletakkan jawatan atas kegagalannya menasihati Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk bertindak segera mengeluarkan rakyat Malaysia dari Ukraine.

“Sejujurnya, saya rasa Menteri Luar Negeri patut letak jawatan. Sebab beliau patut nasihatkan Perdana Menteri supaya arahkan pemindahan rakyat kita di sana.”

Farida menegaskan Wisma Putra sepatutnya bertindak beberapa minggu lalu untuk mengekstradisi rakyat Malaysia di Ukraine kerana amaran mengenai pencerobohan itu sudah jelas.

“Beliau (Saifuddin) boleh buat begitu walaupun tanpa Perdana Menteri, tetapi hanya memaklumkan kepada Kabinet. Ia untuk keselamatan kakitangan diplomatik. Perang sedang berlaku di sana,” kata Farida menurut The Malaysian Insight.

Beliau mengeluarkan kenyataan ini susulan berita mengenai lapan diplomat Malaysia dan dua tanggungan warga asing yang melarikan diri dari negara itu melalui jalan darat ke Poland 27 Februari baru-baru ini.

Ujar Farida, Wisma Putra tersilap dalam menangani situasi itu.

“Saat-saat akhir mereka (rakyat Malaysia) terpaksa meninggalkan perjalanan di jalan yang sesak untuk melarikan diri ke Poland.”

“Mereka sepatutnya dipindahkan minggu lalu. Entah kenapa Wisma Putra tidak bertindak lebih awal. Ia adalah satu kesilapan dalam mengendalikan keadaan.”

Selain itu, Farida berkata, kementerian perlu menyokong rakyat Malaysia yang terjejas dengan membawa mereka pulang dan membayar pampasan perjalanan mereka.

Wisma Putra bagaimanapun menafikan “laporan sensasi dan mengelirukan” yang ia tidak menangani pemindahan diplomat Malaysia di Ukraine dengan betul.

Dalam satu kenyataan media, agensi itu berkata, misi pemindahan merupakan maklumat sensitif yang tidak boleh didedahkan kepada umum bagi memastikan keselamatan semua yang terlibat dalam misi itu.

“Dakwaan diplomat kami melarikan diri (Kyiv) kerana rancangan pemindahan tidak ada adalah tidak berasas.”

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan semua warga Malaysia yang berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Ukraine sudah berjaya dikeluarkan dalam misi evakuasi yang dijalankan Kementerian Luar.

“Kita dah berbincang pejabat kita (Kedutaan Besar) di Warsaw untuk dihubungi kalau ada timbul rakyat kita yang tidak berdaftar… (contoh) tiba-tiba mereka memohon pertolongan untuk membantu mereka… (jadi) pejabat kita di Warsaw (Poland) akan bantu.”

“Saya menyeru kepada rakyat kita tidak berdaftar tetapi berada di Ukraine, sila hubungi pejabat kita di Poland,” kata Ismail Sabri.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: