NGO

Kes Sekolah Vernakular: SJKC / SJKT Terikat Dengan Bahasa Melayu – iGuru

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KELANTAN, 30 Mei 2022 – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) pada Ahad baru-baru ini mengulas tentang kes saman ke atas sekolah vernakular di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Kelantan, di mana iGuru menegaskan bahawa kes tersebut ‘mengikat’ sekolah vernakular untuk berbahasa Melayu.

Melalui sebuah hantaran di laman Facebook, iGuru menjelaskan bahawa keputusan hakim, YA Abazafree bin Mohd Abbas walaupun tidak berpihak kepada mereka sebagai plaintif, tetapi YA Hakim Abazafree bin Mohd Abbas, di dalam penghakimannya mengakui SJKC/T sebagai public authority.

Menurut iGuru lagi, jika ia berstatus ‘public authority’ maka tidak boleh mana-mana sekolah vernakular sama ada SJKC/T juga sekolah swasta memandang rendah kedudukan Bahasa Melayu dan ia mesti didaulatkan di dalam sistem pendidikan negara sama ada dalam pengajaran, kurikulum, peperiksaan dan penilaian. Jika tidak, aspek keharmonian dan perpaduan kaum melalui sistem pendidikan di sekolah akan gagal.

Menurut mereka lagi, secara tidak langsung keputusan mahkamah ini membenarkan kewujudan sekolah vernakular dan institusi ini mesti terikat dengan Perkara 152 Perlembagaan berkaitan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan digunakan dalam sistem pengajaran, pembelajaran, kurikulum dan peperiksaan mereka tanpa menghalang penggunaan bahasa ibunda masing- masing.

“SJKC/T mesti patuh kepada sistem, polisi dan dasar-dasar pendidikan negara.”

Selain dari itu, pihak iGuru turut menegaskan sistem Sekolah Kebangsaan perlu diperkasakan dan menjadi sekolah pilihan terbaik di dalam sistem pendidikan negara.

“Niat murni pihak iGuru hanyalah satu iaitu ingin melihat kualiti pendidikan negara semakin baik dan pendidikan menjadi alat perpaduan semua kaum. iGuru akan terus bergerak ke hadapan sebagai NGO pendidikan yang proaktif menjaga kepentingan guru dan menjadi suara vokal terhadap isu-isu pendidikan negara.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: