Tempatan

Bantuan Mangsa Banjir Cecah RM10,000 – Perdana Menteri

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR 02 Januari 2022 – Keseluruhan pemberian tunai kepada mangsa banjir boleh mencecah RM10,000 bagi setiap Ketua Isi Rumah, ujar Perdana Menteri Ismail Sabri.

Pemberian itu merangkumi, pertama, Bantuan Wang Ihsan (atau BWI) sebanyak RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah berbanding RM500 sebelum ini. Bantuan ini telah mula diberikan sejak 27 Disember lalu, 10 hari selepas kejadian banjir.

“Setakat hari ini, seramai 20,000 Ketua Isi Rumah telah menerimanya,” kata beliau.

Kedua, baucar tunai sebanyak RM500 bagi pembelian barangan elektrik kepada setiap keluarga mangsa banjir bagi menggantikan barangan elektrik yang rosak akibat bencana banjir.

“Pembelian ini boleh dibuat di premis atau di platform e-dagang yang
diiktiraf oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dan akan dilaksanakan bermula 7 Januari 2022,” maklum Ismail Sabri.

Ketiga, baucar tunai untuk pembaikan kenderaan bagi tujuan pembaikan atau pembelian semua kenderaan yang terkesan termasuk lori, kereta, motosikal dan lain-lain.

Pemberian baucar tunai dan diskaun akan dimulakan pada Januari 2022.

“Bagi pemilik Perodua dan Proton yang terkesan, syarikat ini menawarkan pengecualian bayaran perkhidmatan tunda kenderaan dan upah baik pulih di samping diskaun 50 peratus ke atas alat ganti,” kata Ismail Sabri.

“Manakala syarikat lain pula menyediakan perkhidmatan tunda kenderaan secara percuma dan diskaun sekurang-kurangnya 25 peratus ke atas alat ganti dan upah baik pulih di pusat servis yang berdaftar.”

Bantuan keempat, kerajaan bersetuju untuk memberikan wang tunai sebanyak RM2,500 khusus untuk pembelian barangan keperluan mengikut kesesuaian masing-masing.

Pemberian ini adalah khas untuk mereka yang mengalami kerosakan barangan akibat banjir.

Bantuan kelima, kerajaan juga akan menyediakan bantuan tunai sehingga RM5,000 bagi setiap keluarga untuk kerja-kerja pembaikan rumah kepada mangsa banjir yang mengalami kerosakan yang tidak serius.

“Bagaimanapun, bagi kerosakan serius, kerajaan sendiri akan mengurus baik pulih rumah dengan kos sehingga RM15,000 manakala bagi rumah yang musnah dan tidak boleh diduduki, kerajaan akan membantu sehingga kos RM56,000 setiap unit rumah dibina baru,” tambah beliau.

Malah, menurut Ismail Sabri, mereka yang mengalami kemusnahan rumah secara total, jumlah bantuan jauh lebih tinggi dan boleh mencecah RM61,000.

Kesemua bantuan itu merupakan usaha kerajaan untuk mengurangkan bebanan rakyat tanpa perlu mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Dengan usaha ini, pencarum boleh mengekalkan simpanan mereka dan menikmati dividen tahunan sekitar 5 peratus sekali gus mereka boleh merancang masa depan selepas bersara.”

“Saya berharap dengan pemberian ini sedikit sebanyak dapat memberi Sinar Baharu kepada Keluarga Malaysia,” katanya ketika menyampaikan perutusan sambutan Tahun Baharu 2022 dua hari lalu.

18 Disember 2021 lalu, banjir besar mula melanda lapan negeri mengakibatkan 48 orang terkorban dan lima lagi masih hilang. Kejadian ini disifatkan orang ramai sebagai bencana yang paling buruk berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Terkini, lima daerah di Pahang mula mengalami gelombang banjir kedua.

Lima daerah berkenan ialah Lipis, Maran, Bera, Rompin dan Raub, maklum Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: