NGO

Tokoh Sengal Sahaja Yang Tidak Percaya Bahasa Melayu Boleh Jadikan Negara Ini Maju – Syed Hassan Syed Ali

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 02 Jun 2022 – “Saya sangat hairan beberapa orang tokoh yang dikenali ramai boleh menyuarakan pendapat negara akan tercicir jika utamakan Bahasa Melayu. Pada saya ini jenis tokoh sengal otaknya,” tegas Setiausaha Agung PERKASA, Syed Hassan Syed Ali

Menurutnya, mereka ini sudah buta tak nampak lagi perkasakan bahasa ibunda telah menjadikan sesebuah negara jadi maju.

Jelasnya, Jerman, Perancis, Sweden, Jepun, Korea, China, Itali dan banyak lagi adalah negara maju yang mengutamakan bahasa rasmi negara masing-masing.

“Tokoh-tokoh ni semua pada saya adalah warganegara yang tiada jati diri langsung untuk sayang atau cintai bahasa sendiri,” ujarnya.

Menurut Syed Hassan, usaha Perdana Menteri untuk memartabatkan Bahasa Melayu dengan serius, wajar disokong oleh semua pihak terutamanya tokoh-tokoh Melayu sendiri.

Ujar beliau, mereka perlu sedar atau memahami tujuan untuk perkasakan Bahasa Melayu.

“Ya, banyak urusan perniagaan membabitkan Bahasa Inggeris, teruskanlah guna Bahasa Inggeris untuk tujuan itu jika membabitkan perniagaan urusan antarabangsa.”

Malah, jika membabitkan perniagaan dengan syarikat-syarikat asing yang beroperasi dalam negara ini pun tiada masalah jika mahu gunakan Bahasa Inggeris.

“Yang kita mahukan adalah Bahasa Melayu digunakan dengan menyeluruh oleh semua jabatan dan agensi Kerajaan kerana ianya bahasa rasmi negara ini,” ujar beliau.

Syed Hassan menegaskan, semua jabatan dan agensi Kerajaan hendaklah tekankan satu penggunaan bahasa sahaja iaitu Bahasa Melayu.

“Jika jabatan atau agensi Kerajaan yang berurusan dengan warganegara sendiri dan juga warga asing contohnya Jabatan Imigresen, bolehlah guna Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di papan tanda dan pintu masuk.”

Tambahnya, tidak perlulah bahasa-bahasa lain seperti Bahasa Mandarin dan Tamil lagi sebab rakyat negara ini dari kalangan kaum Cina dan India wajib boleh bertutur dalam Bahasa Melayu kerana Bahasa Melayu bahasa rasmi negara mereka ini.

Beliau turut menyelar, alasan nak letak bahasa Mandarin, Arab, Tamil, Jepun segala untuk para pelancong dari negara-negara itu adalah mengarut.

Soalnya, adakah bila kita ke negara mereka untuk urusan perniagaan atau melancong, kita jumpa papan-papan tanda dalam Bahasa Melayu untuk memudahkan kita?

“Tidak ada pun. Yang kita nak berlebih-lebih sangat sampai menyamatarafkan bahasa rasmi kita dengan bahasa asing apasal?”

Justeru, PERKASA gesa kerajaan segera arahkan semua jabatan dan agensi Kerajaan serta syarikat-syarikat tempatan utamakan penggunaan Bahasa Melayu.

Umpamanya, banyak berlaku di bank-bank tempatan. Bila kita telefon bank-bank tertentu akan ada mesin menjawab secara automatik berbunyi “Please press 1 for English” kemudian “Sila tekan 2 untuk Bahasa Malaysia” dan seterusnya sampai Bahasa Mandarin. Lihat, Bahasa Melayu dah jadi bahasa kedua di bank-bank.

Tegas beliau lagi, ini perlu ditegur dan mereka perlu akur!

Apa pun, untuk perkasakan Bahasa Melayu, semuanya perlu bermula di Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta Dewan-Dewan Undangan Negeri semua.

“Semua YB-YB perlu utamakan Bahasa Melayu dan tidak sesuka hati menggunakan Bahasa Inggeris!”

“Kita tonton secara siaran langsung mahu pun rakaman, ramai YB-YB berhujah dan berbahas kerap menggunakan Bahasa Inggeris.”

“Ada yang kita tahu tahap Bahasa Inggeris sesetengah YB itu memang teruk tapi YB-YB inilah yang sering guna Bahasa Inggeris bila bangun bercakap,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, kadang-kadang boleh dilihat mereka terus guna Bahasa Inggeris tanpa minta izin. Meleret-leret panjangnya terus guna Bahasa Inggeris.

“Ini sangat sedih bila YB Melayu sendiri yang tak hormat Bahasa Melayu. Ni jenis YB perasan bagus,” katanya.

Syed Hassan sekali lagi menegaskan bahawa Bahasa Melayu perlu diperkasakan secara menyeluruh.

“Jika ada apa-apa program-program tertentu seperti mempromosi produk baru mana-mana jenama di pusat-pusat membeli belah, kita kerap terlihat ianya menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya.”

“Ini seolah-olah kita berada di negara asing pula,” ujarnya.

Justeru, pihak berwajib wajar kuatkuasakan peraturan membenarkan acara-acara promosi sesuatu, mesti gunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama program itu.

“Nak guna Bahasa Inggeris gunalah selepas guna Bahasa Melayu,” tegasnya mengakhiri kenyataan.

Leave a Reply

Back to top button