Tempatan

Banjir: Pantau Sistem Lekukan Tropika Di Masa Depan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 20 Disember 2021 – Pengerusi Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Fredolin Tangang berkata, sistem lekukan tropika yang menjadi punca berlakunya hujan lebat berpanjangan dan banjir perlu dipantau di masa hadapan.

Jelas beliau, kejadian banjir yang berlaku di negara ini disebabkan oleh lekukan tropika yang dikenali sebagai sistem Lekukan Tropika 29W, yang bergerak dari Laut China Selatan dan menyebabkan banjir di beberapa negeri di Pantai Timur.

“Sistem lekukan ini yang sepatutnya berakhir di Semenanjung Malaysia mengukuh semula apabila sampai di Selat Melaka dan berlegar di kawasan tersebut sejak daripada petang Jumaat dan ini menyebabkan hujan lebat berpanjangan sehingga pagi Ahad di negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur,” katanya seperti dipetik dalam portal Ismaweb.

Beliau menambah, pengukuhan itu berkemungkinan disebabkan ia berada di atas air laut di Selat Melaka dan juga angin Timur Laut yang kencang akibat daripada Taufan Rai yang pada ketika itu berada di tengah Laut China Selatan dan menuju ke perairan Vietnam. Tiupan angin kencang mengukuhkan daya putaran kepada lekukan ini.

“Menariknya juga sistem lekukan ini tidak bergerak terus ke Barat menuju Sumatra dan Lautan Hindi tetapi berlegar di atas Selat Melaka.”

“Ini menyebabkan hujan lebat yang berpanjangan dan banjir di Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.”

Kata beliau lagi, lekukan tropika seperti ini ternyata boleh menyebabkan penurunan hujan yang ekstrim dan banjir serta berupaya untuk bergerak merentasi Semenanjung Malaysia dan menyebabkan banjir di negeri-negeri di Pantai Barat di Semenanjung Malaysia.

“Sebenarnya sistem lekukan tropika yang muncul di Laut China Selatan dan berjaya merentasi Semenanjung Malaysia pernah berlaku sebelum ini seperti yang pernah berlaku di Johor dan juga Pulau Pinang.”

“Jadi di masa hadapan, kita mesti memantau sistem begini dan memastikan samada ia berkemungkinan mengukuh semula atau tidak apabila merentasi Semenanjung Malaysia,” katanya.

Dalam masa sama, Prof Dr Fredolin Tangang mengingatkan kepada semua bahawa, kejadian banjir dan hujan lebat berkemungkinan berlaku lagi berikutan negara masih berada dalam musim tengkujuh biarpun cuaca kelihatan baik.

“Angin Monsun Timur Laut yang kencang dan luruan sejuk mungkin boleh berlaku selagi kita masih berada dalam musim Monsun Timur Laut dan risiko banjir masih tinggi dan boleh berlaku negeri-negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: