Sejarah Hari Ini

Sarawak & Kewajipan Sumpah James Brooke: Jaga Istiadat Melayu Selama-lamanya 


Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Sarawak yang dijaga oleh James Brooke, saiznya bukanlah sebesar saiz negeri Sarawak pada hari ini. Sarawak yang dijaga James Brooke bermula perjanjian awalnya, hanya merangkumi sebuah daerah kecil yang merangkumi Lundu di barat dan Sadong di Timur 1 .

Perpecahan, pergaduhan serta perebutan kuasa oleh waris-waris kesultanan Brunei dan juga pemberontakan demi pemberontakan golongan pengiran-pengiran di daerah masing-masing, membuka ruang kepada kelicikan James Brooke merampas Sarawak.

James Brooke menghidu kesempatan yang boleh dipergunakannya apabila beliau berlabuh di Kuching pada bulan Ogos 1836. Penemuan logam Antimoni di Sarawak pada 1824, membuatkan jalinan perdagangan antara Singapura dan Sarawak mahu dijalinkan. Beliau yang sedang di dalam rangka kerja perdagangan tersebut, melihat Kuching pada waktu itu sedang dilanda pemberontakan Anti-Brunei. Pemberontakan yang dilancarkan oleh orang Melayu dan Bidayuh yang menentang Pangeran Indera Mahkota, Raja Sarawak lantikan Sultan Brunei pada ketika itu. Pada 1838, Raja Muda Hashim, bapa saudara kepada Sultan Brunei, Sultan Omar Ali Saifuddin II, telah diutus ke Sarawak bagi memadamkan pemberontakan.

Sama seperti apa yang dibuat Francis Light di Pulau Pinang, James Brooke menawarkan bantuan kepada Raja Muda Hashim. Raja Muda menjanjikan jawatan Rajah di Sarawak jika berjaya. Pemberontakan kemudiannya berjaya dipadamkan. Masalah timbul apabila Raja Muda Hashim berdepan dengan dilema. Beliau tidak mempunyai kuasa untuk melantik Brooke sebagai Rajah Sarawak tanpa perkenan Sultan Brunei. Keadaan bertambah sulit apabila, Pengiran Indera Mahkota berlepas pulang ke Brunei. Raja Muda Hashim berasa gusar, kerana Pengiran Indera Mahkota tidak mahu Brooke berkuasa sebagai Rajah lantikan di Sarawak.

Brooke yang tidak berpuas hati dengan keadaan tersebut, kemudiannya membuat ugutan. Beliau meluncurkan dua buah kapal perang, Royalist dan Dianna ke Brunei, menyerang dan mengepung Istana Sultan Brunei sehingga Sultan Brunei menyerah. Melalui peras ugut dan kekerasan, Sultan Brunei bersetuju melantik Brooke sebagai Rajah di Sarawak. Tetapi perlantikan tersebut, dimeterai dengan satu perjanjian yang menuntut James Brooke untuk memberikan komitmen untuk memelihara adat istiadat Melayu untuk selama-lamanya di Sarawak.

Isi kandungan sumpah perlantikan James Brooke sebagai Rajah di Sarawak diperturunkan seperti di bawah :

Surat ini diperbuat pada tahun Hijrah 1257, pukul dua belas pada hari Rabu, 30 haribulan Rejab (bersamaan dengan tahun Masihi 1841), menyatakan dengan hati yang suci dan tulus ikhlas Pangeran Muda Hashim putera Almarhum Sultan Muhammad menukarkan kepada James Brooke pemerintahan Sarawak serta jajahan takluknya dan hasil cukainya serta segala tanggungjawab pada masa yang akan datang. Dan lagi dialah, James Brooke yang akan jadi tuan punya dan hasil cukai yang didapati di Sarawak dan dia seorang sahajalah yang bertanggungjawab dalam hal perbelanjaan kerajaan yang wajib bagi kebaikan Sarawak…

Dan lagi, James Brooke mengaku iaitu undang-undang dan adat istiadat orang Melayu di Sarawak hendaklah dihormati dan dipelihara selama-lamanya kerana negeri Sarawak itu takluk kepada Sultan Brunei, Pangeran Muda Hashim dan Raja-Raja Melayu…

1. Abdul Rahman Haji Ismail, Malaysia : Sejarah Kenegaraan Dan Politik, (2007), Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur, p. 196 – 197

2. Perjanjian & Dokumen Lama Malaysia (Old Treaties & Documents Of Malaysia) 1791 – 1965, 2009, Institut Terjemahan Negara Berhad, Kuala Lumpur, p. 26

Mohd Aswanizam Alias
Pengarah Ihsan Strategic Research Centre (ISR)

*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan samudera.my*

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: