Tempatan

Banjir Kali Ini Dipengaruhi Oleh Perubahan Iklim – Pakar Klimatologi

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 08 Januari 2024 – Pakar Klimatologi, Prof Dr. Fredolin Tangang tidak menolak kemungkinan banjir Monsun Timur Laut (MTL) kali ini dipengaruhi oleh perubahan iklim antropogenik dan pemanasan global yang disebabkan oleh peningkatan gas-gas rumah hijau di atmosfera.

Katanya, secara purata setiap peningkatan satu darjah Celsius suhu dunia akan meningkatkan tujuh peratus kandungan wap air di atmosfera dan hujan ekstrem.

Walau bagaimanapun jelasnya, kawasan khatulistiwa terutama di kawasan Asia Tenggara yang merupakan kawasan penumpuan kelembapan, kadar peningkatan kandungan wap air di atmosfera meningkat dua hingga tiga kali ganda berbanding purata global.

“Peningkatan kelembapan sebegini akan meningkatkan hujan ekstrem semasa musim tengkujuh.”

“Namun, tahun ini, kita juga dipengaruhi oleh El Nino dan semasa fenomena ini kebiasaannya berlaku pencapahan kelembapan dari kawasan di rantau ini ke tengah Lautan Pasifik dan ini mungkin mengurangkan impak perubahan iklim dan Monsun Timur Laut yang kita alami tidaklah seburuk seperti tahun 2014 sebelum ini,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, banjir kali ini disebabkan oleh hujan ekstrem yang berlaku dalam tempoh panjang yang disebabkan oleh episod luruan sejuk iaitu tiupan angin kencang dari kawasan bertekanan tinggi di kawasan Siberia.

“Angin kencang seperti ini akan merentasi Laut China Selatan dan membawa kelembapan tinggi ke kawasan negeri pantai timur Semenanjung terutama Kelantan, Terengganu dan Pahang.”

Tambahnya lagi, hujan ekstrem juga disumbang oleh tiupan angin timuran dari Lautan Pasifik dan memperkukuhkan lagi angin yang bertiup ke kawasan selatan Thailand, Kelantan Terengganu.

Ujarnya, tiupan angin itu dilihat mengarah ke Lautan Hindi merentasi kawasan selatan Thailand yang menyebabkan kawasan di sana juga mengalami banjir teruk.

“Angin timuran kencang dari Lautan Pasifik juga berkemungkinan menyebabkan hujan lebat dan banjir di pantai timur Sabah terutama kawasan Sandakan.”

“Selain dari tiupan menghala ke Lautan Hindi, tiupan luruan angin juga bertiup ke selatan menghala ke kawasan palung monsun yang kini berada di sekitar selatan Sumatera dan ini menjana penumpuan kelembapan dan hujan di bahagian selatan Semenanjung,” katanya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: