Tempatan

Ramadan Di Pahang: Imam Luar Tidak Dibenarkan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Telegram, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUANTAN, 7 April 2021 – Imam dari luar Pahang, termasuk dari pondok atau maahad tahfiz tidak dibenarkan memimpin solat tarawih di masjid atau surau di negeri ini.

Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) pengimarahan masjid dan surau di negeri Pahang sepanjang Ramadan, tiada penceramah jemputan dari luar Pahang dibenarkan.

Tazkirah tarawih juga tidak dibenarkan.

“Solat tarawih perlu selesai selewat-lewatnya pada jam 10 malam. Tazkirah yang dibenarkan ialah selepas solat Zohor dan sebelum solat Jumaat dengan tempoh maksimum 15 minit,” kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Aktiviti tadarus, khatam al-Quran dan Qiamullail pula dibenarkan mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

“Aktiviti tadarus dan khatam al-Quran dibenarkan selepas solat Subuh hingga sebelum Maghrib, manakala Qiamullail dibenarkan pada jam 10 malam terakhir mulai 3 jam pagi hingga solat Subuh,” katanya lagi.

Tambah Datuk Seri Wan Rosdy, sepanjang Ramadan, penyertaan pelajar dari sekolah berasrama dan kanak-kanak bawah tujuh tahun untuk solat tarawih di masjid atau surau tidak dibenarkan.

Namun asrama sekolah dibenarkan untuk menganjurkan solat itu.

Jumlah jemaah yang dibenarkan di dalam masjid dan surau pula adalah berdasarkan kapasiti ruang solat yang disediakan dengan kawalan oleh pihak pengurusan masjid dan surau.

Di samping itu, pihak pengurusan masjid dan surau juga bertanggungjawab memastikan SOP sentiasa dipatuhi.

“Pihak pengurusan masjid dan surau perlu mematuhi pekeliling dan arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP),” kata Datuk Seri Wan Rosdy.

“SOP adalah dari segi pemakaian pelitup muka, pemeriksaan suhu dan pendaftaran menerusi aplikasi MySejahtera, PahangGo atau buku kehadiran serta membawa sejadah bersaiz besar.”

Di akhir kenyataan, Datuk Seri Wan Rosdy mengingatkan bahawa kebenaran untuk menjalankan aktiviti pada Ramadan akan dibatalkan sekiranya berlaku kes pelanggaran SOP dan penularan wabak COVID-19 sehingga dibenarkan pihak berkuasa untuk beroperasi semula.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: