Tempatan

Penduduk Kampung Baru Belum Terima Pampasan Penuh Dihalau Keluar Rumah

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 13 April 2022 – Penduduk Pangsapuri Sungai Baru di Kuala Lumpur dikejutkan dengan penerimaan Borang K atau notis pengosongan rumah dalam tempoh 42 hari biarpun ada antara mereka masih belum menerima pampasan sepenuhnya.

Menurut seorang wakil penduduk yang bernama Ibrahim, seharusnya penduduk diberikan masa dan perbincangan bersama semua pihak sebelum diarahkan untuk mengosongkan rumah.

“Penduduk flat Sungai Baru dimaklumkan mengenai Borang K pada 22 Mac. Tapi sebenarnya, borang itu sampai ke tangan penduduk pada 1 April.”

“Masalahnya, bila penduduk menerima notis 1 April hanya tiga hari sebelum nak puasa. Adakah patut surat ini dikeluarkan pada waktu penduduk menyambut Ramadan?” soalnya.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru Kuala Lumpur, Zulfakar Wahib walau bagaimanapun mengatakan hampir 85 peratus daripada penduduk pangsapuri bersetuju untuk pindah namun ia disangkal oleh Ibrahim.

Kata Ibrahim, penduduk di situ terutamanya penghuni rumah teres tidak bersetuju dengan kadar pampasan RM400 kaki persegi yang ditetapkan oleh Pejabat Tanah dan Galian Kuala Lumpur (PTGWPKL).

“Secara amnya, penduduk sedia pindah sekiranya diberi pampasan sewajarnya. Kami diberitahu bahawa nilai tanah di sini sekitar RM1,000 hingga RM1,500 (kaki persegi) tapi yang ditawar RM400 sahaja.”

“Apabila kami minta mengadakan perbincangan, mereka menggunakan warta untuk mengusir kami secara paksaan.” ujar Ibrahim.

Ketika ini, 37 penduduk rumah teres tidak bersetuju dengan pampasan yang ditawarkan manakala 27 yang lain bersetuju.

Isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru di Pangsapuri Sungai Baru melibatkan 67 unit rumah teres dan 264 unit rumah pangsapuri itu telah dalam proses pengambilan tanah sejak tahun 2016.

Pada Julai tahun lalu, penduduk di Kampung Sungai Baru telah menerima surat Warta Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah 1960 yang memaksa mereka keluar dari tanah itu dengan pampasan.

Baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemilik Rumah Teres Kampung Sungai Baru, Lily Suzana mengesahkan bahawa beliau telah menulis surat kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Shahidan Kasim agar menarik kembali pewartaan Seksyen 8 ke atas rumah teres tersebut.

“Kami akan minta pertama buat nilaian hartanah kita dan membuat kajian impak sosial atas pemilik kesan dari pembangunan semula,” katanya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: