Kuwait Umum Laksana 4 Jam Hari Bekerja Ramadan Ini
BANDARAYA KUWAIT, 21 FEBRUARI 2024 – Kuwait mengumumkan pengurangan jam bekerja kepada empat jam buat pekerja sepanjang bulan Ramadan ini.
Menurut laporan, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (CSC) telah menetapkan waktu bekerja rasmi itu bagi agensi atau kementerian kerajaan yang beroperasi dengan sistem waktu bekerja yang fleksibel.
Katanya, pekerja wanita akan diberi tempoh kelonggaran selama 15 minit pada permulaan dan akhir syif mereka bagi membolehkan mereka fleksibel dalam jadual mereka, manakala pekerja lelaki akan bekerja selama 4 jam dan 15 minit, dengan satu tempoh kelonggaran selama 15 minit pada waktu pagi.
Antara slot masa yang ditetapkan untuk kehadiran dan tamatnya waktu bekerja adalah seperti:
8.30 pagi hingga 1.00 petang
9.00 pagi hingga 1.30 petang
9.30 pagi hingga 2.00 petang
10.00 pagi hingga 2.30 petang
10.30 pagi hingga 3.00 petang
Susulan itu, laporan berkata entiti kerajaan mempunyai kuasa untuk menugaskan pekerja pada slot masa tertentu atau menawarkan mereka pilihan daripada beberapa pilihan yang ada.
Keputusan itu adalah susulan selepas selesainya semakan penilaian prestasi pekerja bagi tahun 2023 oleh Sektor Hal Ehwal Kewangan dan Pentadbiran.
Penolong Setiausaha Hal Ehwal Kewangan dan Pentadbiran, Salah Khaled Al-Saqabi turut mengesahkan bahawa pekerja yang layak akan menerima bonus prestasi kerja yang cemerlang sewaktu Ramadan yang mana ia telah dimasukkan ke dalam belanjawan untuk tahun fiskal 2023/2024.