Israel Serang Palestin Saat Berbuka Puasa
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
BAITULMUQADDIS, 07 April 2022 – Tentera Israel bertindak memukul penduduk Palestin yang berada di Bab al-Amoud atau Pintu Damsyik dengan baton dalam usaha mereka menghalau penduduk dari berada di kawasan itu untuk berbuka puasa.
“Sebelum tengah malam, tentera Israel menahan 8 orang penduduk Palestin dan memukul kepala dan leher kebanyakan mereka menggunakan baton,” lapor Maan News.
Tentera-tentera itu juga menggunakan gas pemedih mata dan bom bunyi bagi menghalau penduduk agar mereka beredar dari Bab al-Amoud.
Menurut saksi, sekurang-kurangya 8 pemuda dan kanak-kanak Palestin telah ditangkap oleh tentera Israel, 3 daripadanya dipukul dengan teruk dan ditahan oleh pasukan khas Israel yang menyamar.
Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin mengesahkan sekurang-kurangnya 19 penduduk Palestin cedera, 4 daripada mereka dibawa ke hospital manakala yang lain dirawat di tempat kejadian.
Dalam laporan berlainan, Sekretariat Agung Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) telah mengutuk sekeras-kerasnya serangan dan jenayah yang dilakukan oleh penjajah Israel terhadap rakyat Palestin.
Justeru, OIC menyeru masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan PBB, untuk memberi tekanan kepada Israel supaya mematuhi prinsip undang-undang antarabangsa, perjanjian dan konvensyen antarabangsa serta menghentikan serangan terhadap rakyat Palestin dan institusi mereka.