Bekalan Telur Dilapor Mula Berkurang
KUALA TERENGGANU, 27 Mac 2023 – Bekalan telur di Terengganu dilaporkan mula berkurang hingga 33%.
Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia, terdapat penurunan bekalan telur ayam di negeri itu pada bulan Ramadan berikutan terdapat kekurangan bekalan daripada pihak pembekal.
BACA JUGA: Dakwaan Berbohong Isu Yayasan AlBukhary, Armada Buat Laporan Polis Terhadap PM, Guan Eng
BACA JUGA: 8 Juta Rakyat Malaysia Hidap Penyakit Anxiety, Pesakit Wanita Terus Meningkat
BACA JUGA: KWSP Sedia Pertimbang Permohonan Naikkan Pengeluaran Haji
“…dianggarkan keperluan telur ayam rakyat Terengganu adalah sebanyak satu juta biji sehari dan bekalan yang diterima adalah kira-kira 600,000 biji dan bekalan itu menurun pada Ramadan iaitu kira-kira 400,000 biji.”
“Maklum balas yang diterima daripada pihak pemborong telur ayam menyatakan faktor utama berlakunya penurunan mendadak ini adalah kerana kekurangan bekalan diterima daripada pembekal iaitu pengusaha ladang. Ia adalah disebabkan permintaan telur ayam yang semakin meningkat pada bulan Ramadan dan pihak ladang lebih mengutamakan pasaran setempat,” katanya menurut laporan portal tempatan.
Katanya lagi, pembelian melebihi kadar biasa oleh pengguna, pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta pengusaha bazar Ramadan turut menyebabkan premis tertentu kehabisan bekalan telur ayam lebih awal sebelum bekalan seterusnya diperoleh sebagaimana dijadualkan.
“Untuk makluman, di Terengganu tiada penternakan ayam penelur dan Terengganu mendapat bekalan telur ayam daripada pengusaha ladang di Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor dan Perak,” ujar Saharuddin.
Susulan penyusutan bekalan ini, beliau menasihatkan pengguna untuk melakukan pembelian telur ayam secara berhemah. Para peniaga juga turut diberi peringatan untuk tidak mengambil kesempatan atas situasi ini dengan menjadikan alasan untuk menaikkan harga.
“Sekiranya terdapat peniaga yang sengaja menaikkan harga telur ayam, mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan sekiranya sabit kesalahan, syarikat boleh dikenakan denda hingga RM500,000 dan bagi individu boleh dikenakan denda hingga RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali atau dikompaun hingga RM50,000,” tegas Saharuddin.