Jalan Lurus

LITERALISME ANTI-CAPAL DAN IMPAK AQIDAH TAJSIM TERHADAP KREATIVITI OBJEK DAN SIMBOL PERADABAN ISLAM

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Telegram, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

Pengetahuan dan kefahaman mengenai Sifat Aqal (Al-Nazr/ Rasionaliti/ Epistemologi) dan Sifat Alam (Al-Mawjudat/ Sains/ Ontologi) menjadi Muqaddimah atau Mabadi (Prinsip-Prinsip Permulaan) bagi semua kitab Kalam Aqidah Asha’irah-Maturidiyyah sebelum mempelajari, mengetahui dan memahami Sifat Allah dan Sifat Anbiya’ (Maqasid/ Objektif Ilmu Kalam). Pembelajaran dan pendekatan Aqidah yang mentanzihkan atau mentaqdiskan (menyucikan) Allah SWT ini bertujuan mengelakkan umat Islam dari terjebak ke dalam Syubhah (Kekeliruan) Aqidah Tajsim/Mujassimah (seperti I’tiqad golongan Karamiyyah, Hasyawiyyah, Ghulat Hanabilah dan segelintir Ahli Hadith).

Dengan kelengkapan pendekatan Aqidah Tanzih iaitu menafikan bagi Allah SWT dari segala sifat-sifat alam dan makhluk yang baharu ini termasuklah menafikan bahawa Allah SWT berjisim, bertempat dan berarah; maka sesiapa yang bepegang kepada Aqidah Tanzih ini tidak akan terkesan barang sedikitpun dengan apa-apa objek dan simbol dalam beragama yang kononnya ditakuti menjadi sembahan umat Islam! Kerana Allah SWT telah disucikan dari persamaanNya dengan segala objek dan simbol yang baharu tersebut.

Ini berbeza dengan mereka yang berpegang kepada Aqidah Tajsim yang beri’tiqad bahawa Allah SWT berjisim dan duduk turun-naik serta berkaki-tangan; maka psikologi atau set-minda mereka yang berpegang kepada Aqidah ini akan sentiasa was-was atau khuatir terhadap objek-objek dan simbol-simbol dihadapan mereka kerana dianggap menyaingi atau menggangu malah berkemungkinan menggantikan Allah SWT yang mereka sifati sebagai berjisim tersebut.

Fenomena Anti-Capal ini dari segi sejarahnya adalah sekadar lanjutan dari fenomena yang pernah wujud sebelum ini di kalangan kelompok yang sama yang melarang adanya lukisan, gambaran atau apa-apa objek dan simbol pada sejadah, mihrab malah dinding masjid atau ruang solat bagi umat Islam. Inilah sebenarnya fenomena selepas abad ke 18 momokan golongan literalisme Islam (i.e Wahhabisme kemudiannya diglobalkan sebagai Salafisme) yang menganggap lukisan, gambaran, objek dan simbol dalam masyarakat Islam akan menjurus kepada kesyirikan.

Kelompok asli Najdiyyah ini sebenarnya tidak berupaya menggarap penghasilan dan keunikan pemikiran dan peradaban Islam yang kaya dengan pelbagai kreativiti objek-objek dan simbol-simbol yang bukan sahaja dipaparkan pada sejadah, mihrab, masjid tetapi juga pada rekabentuk geometri, seni-dampak dan seni-bina Islam yang pada hari ini menjadi mandul dan terkebelakang akibat berkembang suburnya fenomena literalisme seperti kelompok Anti-Capal ini dalam masyarakat Islam hari ini.

Kegagalan Aqidah Tajsim untuk memahami dan menguasai tentang Sifat Aqal dan Sifat Alam ini akan terus-terusan menjadikan Aqidah Tajsim sangat fobia dan alergi terhadap sebarang objek dan simbol berjisim yang mereka anggap akan ditakuti disembah oleh umat Islam justeru akan menyaingi atau menggantikan objek dan simbol sembahan mereka yang juga berjisim! (dalam konteks ini lakaran Capal Nabi Muhammad SAW).

Aqidah Tanzih Kalam Asha’irah-Maturidiyyah yang bersifat rasional dan saintifik yang menjadi teras Ahli Sunnah Wal Jamaah telah berjaya menyelamatkan umat Islam dari terjebak dari pelbagai bentuk kekhuatiran, kekeliruan dan ekstremisme tajsim/mujassimah dalam beraqidah dan terus relevan sehingga ke hari ini sebagai benteng dari ancaman Aqidah Tajsim/Mujassimah.

Sebaliknya Aqidah Tajsim aka “Bida’ah-Hunt” atau “Syirik-Hunt” yang literal dan tidak konsisten secara aqliyyah akan selamanya mencetuskan polemik dan ekstremisme dalam masyarakat Islam sekaligus membantutkan kreativiti umat pada merekacipta objek-objek dan simbol-simbol Islam yang sudah tentu berkait-rapat dengan hakikat-hakikat utama Islam itu sendiri termasuklah peninggalan Baginda Rasullullah SAW melalui lakaran capal Baginda tersebut.

Tidak ada agama besar yang dapat membina Pemikiran dan Peradaban Estetika Tahap Tinggi dalam pelbagai jenis seni-tangan, seni-dampak dan seni-bina tanpa terbit darinya rekacipta-rekacipta objek dan simbol yang mewakili jatidiri dan ruh agama tersebut. Agama yang wujud tanpa keupayaan kreativiti objek dan simbol berkaitan agama tersebut akan menjadi agama yang kering-kontang dan gersang dari kekayaan reka-cipta objek dan simbol.

Keupayaan Aqidah Tanzih Ahli Sunnah Wal Jamaah dari Maghrib sehingga ke Makassar telah menghasilkan kekayaan abstraksi objek dan simbol yang tidak mampu disaingi oleh Aqidah Tajsim yang terkenal sebagai anti-lukisan, anti-gambaran dan anti-segala bentuk objek dan simbol berukir malah diketahui memusnahkan sekian banyak artifak-artifak objek dan simbol kemuliaan Islam atas alasan membawa kepada kesyirikan. Sesiapa yang mengetahui sejarah Aqidah Tajsim akan tahu benar perkara-perkara ini! Dan kita menyaksikan impaknya pada hari ini tentang tabi’at kelompok yang beraqidah sebegini.

Oleh: Dr Amran Muhammad, Pengerusi merangkap CEO  Islamic and Strategic Studies Institute (ISSI), Kuala Lumpur

Pautan Asal: FB Islamic & Strategic Studies Institute (ISSI)

Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: