Tempatan

Positif COVID-19 Boleh Keluar Mengundi Bersyarat – KKM

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PUTRAJAYA, 11 Ogos 2023 – Pengundi positif COVID-19 yang terlibat dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) dibenarkan hadir mengundi dengan bersyarat, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pengundi positif ditetapkan untuk hadir di pusat mengundi dua jam sebelum tamat tempoh mengundi.

Katanya, langkah ini bertujuan memberi peluang pengundi positif menjalankan kewajipan mengundi, pada masa sama mengurangkan risiko penularan jangkitan.

BACA JUGA: Hakisan Pantai Semakin Dekat, Peniaga Risau Tenggelam

BACA JUGA: Pembinaan Lapangan Terbang Tioman Batal – Menteri

BACA JUGA: Ceroboh Tanah Kerajaan Negeri Pahang, Lelaki Didenda RM200,000

Selain itu, pengundi COVID-19 positif juga diingatkan supaya tidak menggunakan kenderaan awam dan dikehendaki memakai pelitup muka sepanjang berada di pusat mengundi melainkan semasa pengenalan diri yang memerlukan pelitup muka dibuka ketika di tempat mengundi.

Dalam pada itu, bagi memudahkan urusan pengundian, individu positif berumur 18 tahun dan ke atas akan menerima mesej daripada aplikasi MySejahtera bermula Khamis sehingga 12 Ogos.

“Mesej tersebut akan memaklumkan mengenai keperluan pengundi COVID-19 menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau petugas kesihatan berdekatan pusat mengundi sebelum mereka datang bagi memastikan petugas kesihatan di daerah terlibat bersiap sedia dalam pengurusan pesakit di pusat mengundi.”

Pengundi COVID-19 positif juga dinasihatkan agar menjaga penjarakan fizikal selamat sepanjang masa terutamanya apabila berhadapan dengan petugas ketika pelitup muka dibuka.

“Setelah selesai mengundi, pengundi positif hendaklah segera meninggalkan kawasan mengundi dan meneruskan pengasingan diri sehingga tamat tempoh Home Surveillance Order (HSO) ,” katanya.

Sementara itu, bagi mereka yang sedang menerima rawatan di hospital dibenarkan discaj dari hospital atas risiko sendiri bagi mengundi dengan syarat mematuhi prosedur ditetapkan.

Namun, katanya, pihak hospital tidak akan menyediakan kemudahan pengangkutan dan pesakit hendaklah menggunakan kenderaan sendiri untuk ke pusat mengundi.

Pada masa sama, KKM juga menasihati semua pengundi lain sentiasa mengamalkan langkah kendiri bagi mengelak jangkitan serta segera mendapatkan dos penggalak vaksin COVID-19 bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan, morbiditi, dan kematian terutamanya bagi golongan berisiko tinggi.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: