Tempatan

Tiada Umrah Selepas 7 Januari 2022 Sehingga Dimaklumkan Kelak – Kementerian Kesihatan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bagi tempoh 1 Januari 2021 hingga 30 Disember 2021, sebanyak 2,763 kes positif COVID-19 telah dikesan dalam kalangan pengembara yang tiba di pintu masuk antarabangsa (PMA). Daripada jumlah itu, sebanyak 1,446 kespositif COVID-19 dikesan dalam kalangan pengembara yang tiba dari Arab Saudi, dikuti oleh Singapura (322 kes), Indonesia (264 kes), dan United Kingdom (217 kes).

Sebagai perbandingan dalam tempoh 14 hari yang lepas atau dalam minggu epid ke-51 dan 52, kes positif COVID-19 dalam kalangan pengembara yang tiba dari Arab Saudi mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 1,161 kes berbanding Singapura (13 kes), Indonesia (8 kes) dan United Kingdom (49 kes).

Untuk makluman, bermula pada 13 Oktober 2021, kumpulan pertama jemaah umrah dari Malaysia telah berlepas ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah dan SOP khas bag tujuan mengerjakan umrah telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 18 Oktober 2021.

Sehingga 30 Disember 2021, seramai 11,108 jemaah umrah telah tiba di Malaysia dan 1,306 daripadanya atau 11.76 peratus telah dikesan positif COVID-19. Daripada jumlah tersebut, 592 dikesan positif pada ujian pertama semasa hari ketibaan di Malaysia dan 714 kes dikesan positif COVID-19 pada ujian kedua yang dijalankan pada hari kelima kuarantin.

Pada 31 Disember 2021, dua (2) lagi kes COVID-19 disahkan varian Omicron, menjadikan jumlah keseluruhan varian in adalah sebanyak 64 kes. 63 daripadanya melibatkan pengembara dan satu (1) kes disyaki jangkitan tempatan. Daripada 64 kes jangkitan COVID-19 varian Omicron ini, sebanyak 32 kes (50 peratus) dikesan dalam kalangan jemaah umrah.

KKM ingin memaklumkan bahawa Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah menjalankan ujian PC Genotyping Assay ke atas 1077 sampel kes positif COVID-19 dalam kalangan pengembara dari 21 sehingga 29 Disember 2021. Sebanyak 966 daripadanya telah menunjukkan berkemungkinan (presumptive) varian Omicron dan kin menunggu keputusan ujian jujukan penuh (WGS). Daripada 966 sampel tersebut, 750 atau 77.6 peratus melibatkan sampel pengembara yang tiba dari Arab Saudi.

Sehingga 30 Disember 2021, terdapat sembilan (9) kluster yang berlaku melibatkan jemaah umrah iaitu:

• Lima (5) kluster melibatkan kes-kes indeks yang disahkan varian Omicron

• Satu (1) kluster melibatkan kes indeks Presumptive Omicron menunggu keputusan Whole Genomic Sequencing (WGS).

• Tiga (3) kluster melibatkan kes-kes indeks positif COVID-19 yang bukan varian Omicron.

Perhimpunan berskala besar melibatkan jemaah dari pelbagai negara semasa di Arab Saudi mendedahkan para jemaah ini kepada risiko tinggi mendapat jangkitan COVID-19 termasuk varian Omicron. Situasi ini menyukarkan para jemaah untuk mematuhi SOP umrah yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia.

Jemaah umrah juga berkemungkinan telah dijangkiti semasa berada di Arab Saudi tetapi masih dalam tempoh inkubasi jangkitan menyebabkan ujian saringan sebelum bertolak balik ke Malaysia masih negatif. Bilangan ketibaan jemaah umrah Malaysia yang ramai iaitu kira-kira 800 ke 1,000 sehari (menggunakan empat penerbangan khas) meningkatkan lagi risiko pengimportan kes COVID-19 dan varian Omicron ke dalam negara.

Kebanyakan jemaah yang pulang dari mengerjakan umrah telah memohon menjalani kuarantin di rumah atau tempat kediaman sepanjang tempoh tujuh (7) hari kuarantin. Namun apabila berlaku tidak kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, kes-kes positif COVID-19 dalam kalangan jemaah umrah telah menyebabkan berlakunya penularan jangkitan dalam kalangan ahli keluarga.

Ketidakpatuhan kepada prosedur kuarantin di rumah atau tempat kediaman juga telah mendedahkan ahli keluarga serumah atau jiran tetangga dan sanak saudara yang datang menziarah, kepada jangkitan COVID-19.

Melihat kepada situasi tersebut, satu perbincangan khas telah diadakan pada 31 Disember 2021 bersama beberapa agensi yang terlibat dalam pengurusan jemaah umrah; seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Kementerian Pengangkutan (MOT), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH).

Ia seterusnya disusuli dengan Mesyuarat Khas Kuartet yang dipengerusikan oleh YB Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, bagi membincangkan cadangan penangguhan Ibadah Umrah susulan Penularan Omicron dan selanjutnya memutuskan cadangan-cadangan berikut:

i. Menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari 2022. Tidak ada perjalanan mengerjakan umrah selepas 7 Januari 2022 sehingga tarikh yang dimaklumkan kelak.

ii. Tempahan tiket penerbangan perjalanan umrah yang baharu ditangguhkan berkuatkuasa 1 Januari 2022.

iii. Kuarantin wajib di steen kuarantin atau hotel yang telah dikenal pasti sebagai stesen kuarantin oleh pihak NADMA bagi jemaah umrah yang pulang ke Malaysia bermula 3 Januari 2022.

iv. Bagi jemaah yang akan berlepas ke Tanah Suci pada 1 hingga 7 Januari 2022, mereka dibenarkan untuk meneruskan perjalanan. Mereka bagaimanapun perlu menjalani kuarantin di stesen kuarantin atau hotel yang telah dikenal pasti sebagai stesen kuarantin oleh pihak NADMA apabila tiba di Malaysia.

Hasil mesyuarat telah diangkat kepada persetujuan YAB Perdana Menteri dan Kerajaan bersetuju memutuskan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari 2022. Penilaian risiko situasi COVID-19 varian Omicron di dalam dan luar negara khususnya di Arab Saudi akan dilakukan secara berkala bagi membuat keputusan untuk membenarkan semula aktiviti umrah.

Penangguhan sementara aktiviti umrah ini dijangka dapat membantu mengurangkan risiko penularan Omicron dalam negara dan memperlahankan peningkatan kes COVID-19. Selain itu, langkah in juga diharap dapat memberi peluang dan ruang kepada kerajaan untuk membuat perancangan serta persediaan rapi dalam pengurusan jemaah umrah sebelum aktiviti umrah boleh dibenarkan semula.

Seterusnya bagi jemaah umrah yang akan pulang ke Malaysia, mereka perlu mematuhi perkara-perkara berikut:

i. Melakukan ujian pengesanan COVID-19 RT-PCR dua (2) hari sebelum Tarikh berlepas.

ii. Melakukan ujian RT-PCR pada hari ketibaan;

iii. Menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian selama 7 hari di stesen kuarantin;

iv. Sekiranya bergejala, lakukan ujian pengesanan COVID-19 menggunakan ujian kendiri RTK Ag;

v. Melakukan ujian RT-PCR pada hari ke-5; dan

vi. Jemaah umrah hanya akan diberi pelepasan dari perintah pengawasan dan pemantauan pada hari ke-8, sekiranya tiada pelanjutan kuarantin dan keputusan ujian RT-PCR pada hari ke-5 adalah negatif COVID-19.

KKM ingin menasihatkan semua jemaah yang baru pulang dari Tanah Suci dan sedang menjalani kuarantin di rumah atau kediaman, supaya mematuhi SOP dan tatacara kuarantin yang ditetapkan termasuk tempat dan tempoh kuarantin.

Individu yang dikuarantin tidak dibenarkan menerima kunjungan daripada ahli keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga semasa dalam tempoh kuarantin bag mengelakkan penularan jangkitan COVID-19 kepada ahli keluarga, dan seterusnya kepada komuniti.

Kegagalan untuk mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Pegawai Diberi Kuasa di bawah seksyen 3 Aka Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] boleh dikenakan tindakan perundangan di bawah Akta yang sama.

Orang ramai juga dingatkan agar sentiasa mengamalkan norma baharu dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan. KKM juga menyarankan kepada individu yang layak menerima vaksin COVID-19 supaya mendapatkan dos penggalak bagi mencapai tahap perlindungan yang optima serta mengelakkan gejala jangkitan COVID-19 yang teruk seta komplikasinya.

Sekian, terima kasih.

KHAIRY JAMALUDDIN

Menteri Kesihatan Malaysia

01 Januari 2022

Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: