Umrah: Ingin Ambil Berkat, Terambil Omicron – Menteri Kesihatan KJ
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 01 Januari 2022 – Menteri di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan dalam sebuah sidang media baru-baru ini bahawa jemaah ibadah umrah yang baru pulang dari Arab Saudi akan dipakaikan ‘digital tracker’ bagi memastikan mereka patuh duduk di rumah.
“Bagi mereka yang pulang dari Arab Saudi, pada minggu hadapan tertakluk kepada pelaksanaan nanti kita akan minta mereka pakai peranti ‘digital tracker’ untuk kita pastikan mereka patuh duduk di rumah,” kata beliau.
Beliau mendakwa kebanyakan jemaah yang baru pulang dari umrah tidak patuh kepada perintah pengasingan, dan ini boleh menyebabkan ahli keluarga dan jiran tetangga boleh dijangkiti Omicron.
“Kita dapati sebahagian besar tidak patuh kepada pengasingan dengan ahli keluarga, mereka bergaul dan menerima kedatangan tetamu serta jiran tetangga. Mungkin ingin mengambil berkat, tapi terambil Omicron,” ujar Menteri Kesihatan itu.
Khairy menasihatkan supaya mereka yang sedang berada dalam tempoh kuarantin kendiri untuk tidak keluar dari bilik dan bergaul dengan ahli keluarga.
“Nasihat kedua yang malangnya tidak dapat kita kenakan penguatkuasaan adalah tolong jangan keluar daripada bilik, bergaul dengan ahli keluar dan terima kunjungan sampailah habis kuarantin.”
Tindakan Menteri Kesihatan itu mendapat bantahan daripada Ketua Aktivis Persatuan Pengguna-Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan atau lebih dikenali dengan panggilan Toqqi.
Menurut Toqqi, layanan yang diterima oleh mereka yang baru pulang dari Makkah adalah seolah-olah penjenayah yang menjalani perintah sekatan, manakala mereka yang pulang dari melancong sebagai rakyat yang diringankan hukumannya.
“Kelmarin, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan arahan memerlukan mereka yang pulang dari melaksanakan umrah memakai gelang elektronik (electronic bracelet) manakala mereka yang kembali dari London hanya memerlukan gelang merah jambu (pink bracelet).”
Sebagai rekod, jangkitan harian Covid-19 di negara-negara Barat adalah mencecah ratusan ribu — lebih kurang 200 ribu kes sehari di United Kingdom dan France, manakala di Arab Saudi cuma hanya terdapat 752 kes sahaja bagi 30 Disember 2021.