Bawa Masuk Pelancong China, KKM Mahu Rakyat Ambil Dos Penggalak
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 03 Januari 2023 – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa orang ramai yang telah menerima dos penggalak pertama yang melebihi tempoh enam bulan agar mendapatkan dos penggalak kedua serta tidak menunggu vaksin bivalen.
Ini kerana vaksin monovalen sedia ada masih sangat berkesan untuk mengurangkan gejala serius dan kematian.
Menurut Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, beliau memberi perhatian serius terhadap kebimbangan rakyat berhubung kenaikan kes COVID-19 di China serta sekatan yang telah dibuat oleh beberapa negara lain terhadap pengembara dari China.
“Berdasarkan maklumat yang dilaporkan negara China kepada pihak WHO, varian dan subvarian yang ada di China juga telah dikesan di Malaysia.”
“Dengan pelanjutan Malaysia sebagai “Kawasan Tempatan Jangkitan” sehingga Jun 2023, ia memberi ruang kepada KKM untuk mengambil sebarang tindakan segera bila diperlukan. Ini termasuk mengubah dasar sedia ada terutama penjagaan kesihatan pengurusan pandemik COVID-19 di sempadan negara (health border measures) serta memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan kesihatan di mana-mana pintu masuk negara. Ia akan dilaksanakan jika perlu, bukan sahaja kepada pengunjung atau pengembara (warganegara Malaysia dan bukan warganegara) yang tiba dari China bahkan yang tiba dari semua negara di dunia,” kata beliau lagi.
Justeru, KKM amat berharap, peratusan pengambilan dos penggalak akan terus meningkat, terutamanya daripada golongan yang berisiko memandangkan ketika ini hanya 49.8% sahaja rakyat Malaysia yang telah mendapat vaksin dos penggalak pertama dan hanya 1.9% sahaja yang telah mengambil vaksin dos penggalak kedua.
Samudera.my sebelum ini melaporkan, Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA) menjangkakan sejuta pelancong China akan tiba di negara ini pada 2023.