UNITED KINGDOM, 04 OGOS 2023 –Sebuah kajian yang diterbitkan pada Selasa lalu telah mendapati bahawa perkembangan sosial dan emosi kanak-kanak di Britain telah terbantut sewaktu perintah sekatan pergerakan COVID-19.
Kajian yang diterbitkan oleh Institute of Fiscal Studies (IFS) itu mendapati bahawa lebih separuh daripada kanak-kanak yang berusia di antara empat ke tujuh tahun menghadapi kemunduran perkembangan.
Kajian yang sama juga mendapati bahawa 42 peratus daripada ibu bapa bagi kanak-kanak berusia 12-15 tahun menyatakan perkara yang sama.
Manakala ibu bapa yang terkesan dari sudut pekerjaan akibat pandemik juga menyatakanbahawa keadaan kemunduran perkembangan anak-anak mereka dari sudut emosi dan sosial adalah lebih teruk.
Andrew McKendrick, seorang penyelidik ekonomi IFS telah menyatakan bahawa kanak-kanak dari pelbagai latar belakang telah menghadapi masalah kemahiran sosial dan emosi sewaktu pandemik COVID-19.
Kajian tersebut telah membuktikan penemuan yang dibuat oleh Amanda Spielman pada tahun lalu yang menyaksikan lebih ramai kanak-kanak tidak mampu memahami ekspresi wajah orang lain.
Bahkan penemuan yang sama dari kajian yang dibuat oleh ketua penyelia Ofsted itu menunjukkan bahawa semakin ramai kanak-kanak yang tidak mampu untuk menguruskan diri mereka di tandas secara mandiri berbanding dengan tempoh sebelum berlakunya pandemik.