Covid-19 Bukan Alasan Gaji Rendah – LLRC
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KHAMIS, 10 Februari 2022 – Pengerusi Bersama Gabungan Reformasi Undang-Undang Perburuhan (LLRC), N. Gopal Kishnam dan Irene Xavier menyelar tindakan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) yang menggunakan Covid-19 sebagai senjata untuk menafikan kenaikan gaji minimum.
Tambah Pengerusi Bersama LLRC, menuduh kenaikan gaji minimum akan menyebabkan perniagaan ditutup adalah tidak relevan kerana analisa ekonomi meramalkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar akan meningkat daripada 3.5% pada 2021 kepada 6.2%.
BACA: Naikkan Harga Atau Tiga Juta Telur Tiada Ramadhan Ini — Lee Yoon Yeau
BACA: Seleweng Ribuan Minyak Masak Subsidi Untuk Sembah Berhala, KPDNHEP Tumpas Sindiket
BACA: Harga Barang Dijangka Naik Selepas Tahun Baru Cina – DPMM
Selain itu, tidak adil untuk melebih-lebihkan kesusahan majikan tetapi mengabaikan pengorbanan pekerja yang sepanjang pandemik pekerja juga sengsara sama seperti majikan, jelas gabungan tersebut dalam satu kenyataan.
“Memandangkan kesan negatif pandemik ditanggung bersama oleh majikan dan pekerja, kenapa majikan tidak berkongsi keuntungan ekonomi dalam bentuk kenaikan gaji dengan pekerja ketika ekonomi sedang pulih?”
N. Gopal Kishnam dan Irene Xavier juga mengingatkan bahawa gaji minimum di Malaysia masih di bawah paras kemiskinan.
Justeru, sudah tiba masanya majikan memberikan pampasan kepada pekerja dengan tangga gaji lebih tinggi ketika ekonomi kembali normal.
Gabungan Reformasi Undang-Undang Perburuhan (LLRC) juga mendesak kerajaan mengumumkan gaji minimum baharu yang sebelum ini gaji minimum dinaikkan daripada RM1,100 kepada RM1,200 sebulan pada Februari 2020.
Terdahulu, Presiden Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, majoriti perniagaan Malaysia tidak bersedia dan tidak dapat melaksanakan cadangan gaji minimum RM1,500.
Menurutnya, cadangan pelaksanaan gaji minimum baharu RM1,500 akan menjejaskan pemulihan ekonomi.