MMA Sokong Jika KKM Naikkan Harga Bayaran Dan Caj Rawatan
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 05 Ogos 2022 – “Kami, sejak bertahun lalu telah beberapa kali menekankan keperluan untuk kenaikan bayaran kerana kuantumnya terlalu kecil untuk memberi kesan yang ketara kepada tabung Kementerian Kesihatan,” kata Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Koh Kar Chai.
Kenyataan ini dikeluarkan susulan jawapan bertulis Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang menyatakan sebab mengapa kutipan hasil kementerian itu rendah adalah kerana pada masa ini Kerajaan hanya mengenakan caj rawatan pesakit luar sebanyak RM1 atau RM5 kepada warga negara mengikut Perintah Fi (Perubatan) 1982.
“Kenaikan diperlukan yang, walaupun mungkin minimum, sekurang-kurangnya akan menambah belanjawan yang diperlukan untuk perbelanjaan penjagaan kesihatan,” kata Dr Koh Kar Chai dalam kenyataan sama.
Tambahnya, sudah tiba masanya untuk beralih daripada sistem penjagaan kesihatan yang disubsidi sekarang yang disifatkannya sebagai tidak mampan.
“Perkara ini tidak sepatutnya ditentang kerana mereka yang tidak mampu membayar pendaftaran tidak akan ditolak,” tegas beliau lagi.
Khairy Jamaluddin dalam Jawapan Bertulis Parlimen bulan lalu berkata, Kerajaan sedar bahawa model pembiayaan kesihatan awam sedia ada tidak mampan dan akan memberikan tekanan kepada beban kewangan Kerajaan.
Sehubungan itu, Kerajaan sedang mengkaji pelbagai opsyen pembiayaan kesihatan yang kalis masa hadapan bagi mengukuhkan sistem kesihatan negara secara menyeluruh, agar perkhidmatan kesihatan lebih saksama (equitable), berkualiti tinggi, mudah diakses dengan kos berpatutan dan mampan untuk jangka masa panjang.
“Perkara-perkara ini akan dimasukkan dalam Kertas Putih Kesihatan yang akan dibentangkan pada hujung tahun ini,” kata Khairy.
Jawapan ini diberikan susulan Pertanyaan Lisan dari Datuk Haji Shabudin bin Yahaya [Tasek Gelugor] yang bertanya, adakah Kementerian bersedia melaksanakan insurans kesihatan sosial bagi mengelakkan kebergantungan kepada sistem kesihatan percuma.