KDN Warta Perintah Larangan Penerbitan LGBT pada Jam Swatch
PUTRAJAYA, 11 Ogos 2023 – Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mewartakan Perintah Larangan terhadap sebarang penerbitan berkaitan Lesbian, Gay, Bisexual, Transgender, Queer dan + Plus (LGBTQ+) dalam apa-apa bentuk yang terdapat pada jam Swatch dan dalam apa-apa koleksi termasuklah kotak, pembalut, aksesori atau perkara lain yang berkaitan, memetik kepada kenyataan KDN bertarikh 10 Ogos 2023.
“Pewartaan Perintah Larangan ini adalah selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan) 2012 yang menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan tersebut adalah dilarang secara mutlak di Malaysia.”
BACA JUGA: Hakisan Pantai Semakin Dekat, Penduduk Risau Tenggelam
BACA JUGA: Sheikh Abdul Rahman Al-Sudais Dilantik Ketua Hal Ehwal Agama Dua Masjid Suci
BACA JUGA: Penyakit Kulit Berketul (LSD): Malaysia Gantung Sementara Import Lembu Dari Australia
“Kerajaan Malaysia komited mencegah penyebaran unsur-unsur yang memudaratkan atau mungkin memudaratkan kemoralan, kepentingan awam, dan Negara dalam kalangan masyarakat. Dalam hal ini, hasil penerbitan tersebut dikenakan tindakan Perintah Larangan kerana ianya merupakan hasil penerbitan yang memudaratkan atau mungkin memudaratkan kemoralan, kepentingan awam, dan kepentingan Negara dengan mempromosikan, meyokong dan menormalisasikan gerakan LGBTQ+ yang tidak boleh diterima oleh masyarakat umum di Malaysia.”
Dalam kenyataan yang sama, KDN turut mengingatkan bahawa berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 8(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan) 2012, mana-mana individu yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau ada dalam milikannya bagi apa-apa jua maksud seperti itu dan apa-apa hasil penerbitan larangan adalah menjadi suatu kesalahan dan boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak lebih tiga tahun dan denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
“KDN sekali lagi ingin menyatakan komitmen dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam melalui tindakan penyeliaan dan kawalan terhadap penerbitan bagi membanteras penyebaran elemen, fahaman dan gerakan yang bercanggah dengan sosiobudaya tempatan dari semasa ke semasa secara berterusan selaras dengan peruntukan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan) 2012.