NGO

Kenapa Ugut Orang Melayu?

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Agak terkejut juga apabila terbaca berita yang mengatakan Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim membuat kenyataan: “Orang Melayu tidak boleh terlalu selesa dan angkuh sehingga meminggirkan kelompok lain”. Kenyataan ini jelas menunjukkan kedangkalan PM10 dalam memahami geopolitik negara majmuk Malaysia yang sekian lama telah hidup bersama secara harmoni tanpa ada berlaku penghapusan etnik seperti di negara-negara lain.

2. Atau PM10 sengaja membuat kenyataan itu kerana itu merupakan sikap beliau yang sering kali bermuka-muka apabila berdepan dengan sesuatu kaum. Sebagai contoh, apabila beliau bersama majoriti agamawan dari kalangan orang kafir di luar negara beliau akan bercakap tentang pluralisme agama. Apabila beliau hadir di majlis makan malam bersama bangsa lain, beliau akan menyatakan negara ini milik bersama semua bangsa.

3. Begitu juga apabila beliau berdepan golongan liberal, beliau menghina agamawan kononnya asatizah zaman sekarang berfikiran kolot dan ketinggalan zaman, terlalu rigid dan kaku dengan sikap fanatik terhadap kumpulannya sahaja. Beliau menampilkan diri dengan ucapan-ucapan yang sedap didengar kononnya seorang yang terbuka dan toleran demi kepentingan rakyat. Perkataan “RAKYAT” ini dijadikan sebagai perisai buat dirinya daripada dikecam.

4. Lidah bercabang PM10 ini harus dihentikan apatah lagi apabila membabitkan perkara agama dan bangsa. Kenyataan yang agak keterlaluan tersebut oleh PM10 seolah-olah beliau mahu mengheret orang Melayu kepada dua keadaan: (1) diam membisu dan biarkan apa sahaja yang dilakukan oleh bangsa lain walaupun jelas menghakis hak orang Melayu, (2) membuat orang Melayu marah dan tersasul membuat kenyataan dan memberi beliau peluang untuk menangkap dan mengheret mereka ke mahkamah.

5. Walau apa sekalipun “niat” PM10, beliau tidak patut membuat kenyataan melulu menghentam orang Melayu apabila berhadapan dengan majoriti hadirin adalah daripada kalangan bukan Melayu. Beliau mengambil peluang yang ada untuk meraih simpati hadirin agar memihak dan menyebelahinya dan secara tidak langsung mempopularkan diri kononnya bersikap terbuka dan tidak rasis.

6. Beliau sepatutnya buat kajian, fikirkan frasa-frasa ucapan yang ingin dilontarkan apakah patut digunakan istilah itu atau tidak, kerana jika salah, kenyataannya akan menjadi bahan terjah oleh orang ramai. Sebagai Perdana Menteri seharusnya beliau sudah sedia maklum akan perkara ini. Mustahil Perdana Menteri tidak ada speech writer? Kaji dahulu baru buat kenyataan, bila masa kaum Melayu Islam terlalu selesa dan angkuh terhadap kaum-kaum lain?

7. Sejarah sebelum kemerdekaan lagi telah membuktikan bahawa orang Melayu Islam adalah bangsa yang sangat toleran, baik, ikhlas, berbudaya halus, sopan santun dan saling menghormati sesama sendiri bahkan terhadap bangsa lain dan ini dibuktikan hanya Malaysia yang mempunyai rakyat majmuk paling ramai dalam dunia dan hampir sejuta pendatang diberikan kerakyatan. Tidakkah itu toleransi dan bukannya sikap angkuh sebagaimana tuduhan PM10. Orang Melayu juga lebih taat dan patuh pada Perlembagaan berbanding kaum-kaum lain.

8. Apakah orang Melayu dikira angkuh setelah puluhan ribu ekar tanah diberikan kepada kaum pendatang sehingga Tanah Rizab Melayu hanya tinggal 12% sahaja. Mereka kaum pendatang menuntut sekolah-sekolah berteraskan bahasa ibunda mereka maka wujudlah sekolah vernakular sehingga kini dan diberi peruntukan lagi sedangkan sekolah pondok orang Melayu dibiarkan terabai. Di sebelah pulau negeri Pulau Pinang, kini tanah orang-orang Melayu hanya tinggal 2%.

9. Pernahkah Perdana Menteri melihat Melayu Pulau Pinang mengamuk untuk merampas semula tanah-tanah mereka yang tergadai kepada kaum-kaum lain? Bahkan untuk kemajuan kampung-kampung baru Cina, puluhan bahkan ratusan juta telah diperuntukkan. RM84 juta diperuntukkan pada 2021, manakala yang terbaru sahaja diperuntukkan sebanyak RM104 juta. Haiyyo…

10. Atau mungkinkah kenyataan PM10 adalah kerana takutkan bayang-bayang sendiri apabila Gerakan Proklamasi Orang Melayu yang dianjurkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan satu usaha ke arah untuk mentransformasikan sikap kaum Melayu Islam demi memperkasakan semula kedudukan mereka dalam segenap sektor di bumi Malaysia ini. Kempen kesedaran ini adalah bertujuan untuk membangkitkan semula semangat orang-orang Melayu Islam agar terus menguasai politik dan ekonomi demi menjamin survival masa depan anak cucu kita.

11. Ini membuktikan secara jelas bahawa PM10 telah melukakan hati orang Melayu Islam dengan menghina sedemikian rupa padahal beliau lebih angkuh lagi. Dahulu, beliau mengajak rakyat turun berhimpun dan berdemonstrasi membuat kacau-bilau hampir setiap minggu sehinggakan kenderaan PDRM pun pernah diterbalikkan.

12. Dahulu PM10 bercakap mengenai “kebebasan bersuara” melalui ‘demonstrasi jalanan’ tetapi kali ini agak pelik apabila beliau melarang keras Proklamasi Orang Melayu menganjurkan perjumpaan-perjumpaan tertutup mencari satu formula yang sistematik, berterusan mahupun menyeluruh ke arah memperkasakan semula kedudukan kaum Melayu Islam mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan.

Solusi: Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim patut tarik balik kenyataannya itu dan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada orang Melayu-Islam, sebelum beliau dilihat ANGKUH dengan kenyataannya itu.

Haji Rashidi Bin Haris
Ketua Aktivis Muafakat

Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: