Himpunan Hari Al-Quds Sedunia Diawalkan Pada 14 April Ini
KUALA LUMPUR, 09 April 2023 – Himpunan Hari Al-Quds Sedunia 2023 yang sepatutnya berlangsung pada 21 April ini telah diawalkan pada 14 April 2023.
Jurucakap Sekretariat Palestin Malaysia, Farazdaq Fargas mengesahkan perkara itu ketika dihubungi portal tempatan.
Katanya, “Ada kemungkinan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di ibu kota ditutup pada 30 Ramadan kelak iaitu 21 April dan menggagalkan usaha penyerahan memo bantahan.”
Pihaknya juga khuatir sekiranya himpunan yang dirancang mungkin menyukarkan isu logistik dan urusan permit dengan pihak berkuasa menjelang sambutan Aidilfitri.
Menurutnya, pada tahun ini, Hari Al-Quds Sedunia disambut pada 21 April, namun kebanyakan negara Islam menganjaknya lebih awal kerana pada tarikh itu dijangka jatuh 1 Syawal.
BACA JUGA: Rang Undang-Undang Kesalahan Seksual Kanak-Kanak Diluluskan Dewan Negara
BACA JUGA: Persiapan Aidilfitri, Kuala Lumpur Dijangka Sesak Sabtu Ini
BACA JUGA: Pinda Akta Pencen Doktor Kontrak, Tukar KWSP
Farazdaq berkata, sebagai langkah awal dan keseragaman dengan negara Islam lain, maka tarikh 14 April telah dipilih untuk Himpunan Al-Quds Sedunia 2023.
Jelasnya lagi, “Jika tetap dibuat 21 April dan hilal Syawal tidak kelihatan sekali gus jadi 30 Ramadan, ‘adat’ di Malaysia pula ramai telah mula balik ke kampung untuk berhari raya.”
Dalam pada itu, Farazdaq menganggarkan kehadiran seramai 1,000 orang dalam himpunan tersebut yang akan bermula selepas solat Jumaat. Peserta akan berarak dari Masjid Tabung Haji di Jalan Tun Razak menuju ke canseri kedutaan AS secara beramai-ramai dengan kawalan pihak polis.
Perarakan ini dijangka ‘hangat’ ekoran tindakan biadab tentera pendudukan haram Israel menceroboh Masjidil Aqsa dan menyerang rakyat Palestin pada 5 April lalu.
Mengulas lanjut, Sekretariat Palestin Malaysia kini disertai NGO termasuk Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan beberapa NGO tempatan yang lain.
Hari Al-Quds Sedunia berlangsung pada Jumaat minggu terakhir Ramadan setiap tahun dan mula diraikan di sebahagian besar negara Islam sejak awal 1980-an lalu.
Ia diadakan sebagai tanda solidariti umat Islam memperingati detik ‘hitam’ Palestin mula dijajah oleh pendatang haram Zionis dan menawan kota suci Al-Quds.