Tempatan

Yang Patut Jaga Tanah, Berani Pula Langgar Amanah! – Rashidi Haris

KUALA LUMPUR – “Betapa jauh pandangan orang Melayu dahulu memikirkan akan nasib dan kesannya sekiranya tidak ada tanah yang diwartakan sebagai tanah rizab untuk orang Melayu. Tujuannya bukan setakat bimbang orang Melayu tidak punya tanah untuk tinggal tetapi bimbang tidak punya negara untuk didiami. Jangan sampai jadi umpama langit milik kita tanah milik orang,” ujar Haji Rashidi bin Haris, Ketua Media MUAFAKAT.

Kenyataan ini dikeluarkan susulan pendedahan Naib Presiden PUTRA, Datuk Hamidah Osman bahawa Tanah Rizab Melayu di Sitiawan, Perak dipindah milik kepada bukan Melayu.

Ujar Haji Rashidi, Tanah Rizab Melayu adalah tanah pusaka warisan yang pernah diperjuangkan nenek moyang bangsa Melayu. Menjualnya samalah seperti menggadai maruah.

“Tanah Rizab Melayu adalah tanah pusaka yang diwariskan oleh generasi moyang bangsa Melayu yang mana sebahagiannya adalah bertujuan supaya tanah-tanah orang Melayu ini tidak terhapus seluruhnya dan agar orang Melayu tidak merempat di tanah air sendiri sekiranya semua tanah dijual kepada orang bukan Melayu.”

“Mereka yang sepatutnya menjaga tanah-tanah tersebut sanggup melanggar amanah besar menjaga Perlembagaan dengan menjualnya yang sama seperti menggadai maruah apabila berkuasa.”

Tambahnya, Seksyen 19 Enakmen Rizab Melayu (Negeri Melayu Bersekutu Bab 142) dengan jelas telah menyebut, sebarang urus niaga atau pelupusan atau percubaan untuk membuat urus niaga atau pelupusan yang bertentangan dengan sekatan kepentingan dalam hal Tanah Rizab Melayu adalah terbatal dan tidak sah.

“Kesemua tanah-tanah, Tanah Rizab Melayu dengan berpandukan kepada Enakmen Rizab Melayu dan Perkara 89 (3) Perlembagaan Persekutuan telah menyebut, Tanah Rizab Melayu yang mahu dibatalkan dan dipindah hak milik perlulah digantikan dengan kawasan yang sama sifat dan luasnya dengan kawasan yang dibatalkan.”

“Malah dalam Seksyen 19, Enakmen Rizab Melayu (Negeri Melayu Bersekutu Bab 142) juga menyatakan bahawa kesemua urus niaga atau pelupusan atau percubaan untuk membuat urus niaga atau pelupusan yang bertentangan dengan sekatan kepentingan yang diperuntukkan oleh Enakmen Rizab Melayu (Negeri Melayu Bersekutu Bab 142)adalah terbatal dan tidak sah, dan apa-apa sahaja perbelanjaan yang telah dikeluarkan tidak boleh dituntut di mana-mana mahkamah.”

Meluahkan rasa marah dan kecewanya, Haji Rashidi mahu dalang yang terlibat disiasat dan dilucut kerakyatan.

“SPRM perlu siasat sehingga ke akar umbi untuk mencari dalangnya sekiranya ada unsur rasuah serta mereka yang berlaku khianat tersebut perlu dihadapkan ke muka pengadilan dan sebagai pengajaran, dilucut kerakyatan kerana menjual tanah perlindungan hak orang Melayu, perbuatan yang jelas melanggar Perlembagaan.”

Baginya, orang Melayu yang sebenarnya tidak akan mengkhianati bangsanya sendiri demi pangkat dan harta.

“Justeru, mana-mana tanah-tanah Tanah Rizab Melayu yang telah dijual wajib diganti sebagaimana yang diperuntukkan dalam undang-undang. Orang Melayu yang mempunyai semangat patriotik dan jatidiri kemelayuannya yang sebenar tidak akan mengkhianati amanah dan bangsa sehingga sanggup menggadai maruah bangsa, maruah keturunan hatta maruah dirinya sendiri hanya kerana pangkat dan harta.”

“Orang Melayu tidak akan menjual bangsanya sendiri,” tegasnya mengakhiri kenyataan.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button