PolitikTempatan

Ini Strategi, Jangan Bela Musuh Dalam Selimut – Prof Ridhuan Tee Abdullah

KUALA LUMPUR – Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah tegas dalam nasihatnya kepada para pemimpin Melayu seperti PAS, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu (PPBM) untuk tidak memberi kerusi pilihan raya umum (PRU) kepada parti bukan Melayu mahupun berharap undi dari bukan Melayu.

“PAS, UMNO, PPBM (BN, MN dan PN) jangan terlalu berharap atau kemaruk dengan undi Cina, termasuk bangsa lain. Apa yang penting sekarang adalah memastikan semua parti politik Melayu ini bersatu. Tidak mustahil boleh dapat dua pertiga.”

Katanya, ini bukan kerana mahu mengenepikan bukan Melayu, tetapi ianya sebagai salah satu strategi pilihan raya.

“Amat malang sekali jika calon-calon ultra kiasu ini diberi laluan bertanding di kawasan majoriti Melayu sama ada atas tiket BN atau PN. Bukan perkauman tetapi strategi.”

Apatah lagi, sudah jelas ahli MCA dan kaum Cina dalam GERAKAN tidak akan mengundi orang Melayu.

“Ini bukan analisis, sebab semua orang sudah tahu kecenderungan kelicikan politik ultra kiasu Cina.”

“Penganalisis politik Wong Chin Huat terang-terang berkata, PRU15, orang Cina takkan undi BN walaupun kecewa dengan PH. Dalam kata lain, Cina akan tetap undi PH.”

Selain itu, Profesor Ridhuan juga menyatakan, satu lagi bukti kaum Cina tidak akan mengundi orang Melayu adalah seperti dalam kes almarhum Tun Omar Ong Yoke Lin, yang merupakan salah seorang pengasas parti MCA.

“Almarhum Tun Omar Ong Yoke Lin mula disisihkan MCA apabila almarhum memeluk Islam.”

Katanya lagi, parti bukan Melayu sebenarnya hanya berharap kepada undi ihsan Melayu.

“MCA dan MIC (BN) serta Gerakan (PN), hanya mengharapkan undi ihsan Melayu.”

“MIC awal-awal lagi sudah bercakap mahukan kawasan selamat daripada UMNO untuk menang. Alasannya, mesti menang, untuk pastikan wakil India ada dalam Kabinet.”

“Alasan sama MCA dan Gerakan akan guna. Lebih berani lagi apabila MCA dan Gerakan turut mahukan kerusi di kawasan Melayu terbesar, Kelantan dan Terengganu.”

“Atas alasan apa kerusi itu mahu diberikan dalam keadaan Melayu berpecah tenat hari ini?” soal beliau.

Tambah pensyarah di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu, beliau hairan mengapa pemimpin parti Melayu masih membela musuh dalam selimut dan tidak mengenengahkan kelab penyokong bukan Islam untuk bertanding kerusi yang ada.

“Saya hairan kenapa tidak ketengahkan kelab penyokong bukan Islam PAS dan Parti Cina Malaysia (PCM) untuk menggantikan MCA dan Gerakan. Dua parti ini lebih mesra Islam dan Melayu.”

“Kenapa masih membela musuh dalam selimut?”

Oleh yang demikian, Profesor Ridhuan Tee mahu pemimpin parti Melayu untuk tidak melayan permintaan parti bukan Melayu kerana jika parti bukan Melayu ini kalah sekalipun, mereka tidak akan rugi apa-apa.

“Nasihat saya kepada pemimpin parti Melayu, UMNO dan PAS, jangan terlalu melayan mereka. Biar mereka berentap di kawasan ultra kiasu. Kita tengok siapa undi siapa.”

“MCA, MIC dan Gerakan, jika kalah pun tidak rugi apa-apa. Tetap ada kerusi menteri. Mereka akan dilantik senator untuk menduduki kerusi menteri dan timbalan. Tidak ada masalah kepada mereka walaupun sedikit”

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button