PM Ikrar Hentikan Polisi Rasis & Tidak Adil
PUTRAJAYA, 19 Mac 2023 – Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa kepimpinannya akan menghentikan dasar tidak adil dan yang meminggirkan komuniti minoriti.
Lapor media tempatan, kata beliau, Kerajaan Perpaduan ini akan terus melindungi rakyat daripada perkauman sekali gus menamatkan sebarang percubaan penggunaan identiti politik untuk memecahbelahkan rakyat.
“Saya memberi jaminan kepada rakyat – sama ada Cina, India dan mereka yang berada di Sabah dan Sarawak – bahawa Kerajaan Perpaduan ini tidak akan membenarkan dasar seperti ini dilaksanakan,” tegas Anwar.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa salah satu inisiatif Kerajaan adalah untuk menyelesaikan isu yang melibatkan rakyat di Sabah dan Sarawak, malah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof sendiri akan mengetuai pasukan untuk meneliti perkara berkenaan.
Anwar juga berkata, sudah tiba masanya untuk berhenti mengukur kemajuan hanya berdasarkan pertumbuhan ekonomi, pelaburan asing dan lain-lain angka tanpa melihat kesannya kepada rakyat.
Beliau menyebut mengenai kadar pengangguran yang menunjukkan sedikit penurunan, namun masih menjejaskan sebilangan besar wanita dan belia.
BACA JUGA: Air Kumbahan Bakal Ditebus Guna Untuk Kilang Pulau Pinang
BACA JUGA: Anggota Kesihatan Dilarang Tolak Pesakit – Menteri Kesihatan
BACA JUGA: Sejak DAP Berkuasa, Pulau Pinang Amal Dasar Perkhidmatan Awam ‘Merit’
Tambahnya, walaupun kadar inflasi negara rendah, bilangan miskin tegar kekal menjadi kebimbangan pihaknya apabila seramai 136,000 isi rumah dikategorikan dalam kumpulan itu, setakat Julai 2022.
“Tanpa keadilan sosial dan ekonomi yang berperikemanusiaan, akan berlaku ketidakadilan. Tanpa kemahuan politik, tadbir urus dan ketelusan, ketidakadilan akan berterusan,” kata Anwar.
Perdana Menteri itu turut menekankan beberapa keutamaan termasuk mewujudkan indeks kemiskinan pelbagai dimensi berdasarkan beberapa keperluan asas seperti pendidikan, pemakanan makanan, dan akses kepada air bersih.
Mengulas lanjut, Anwar juga mengutamakan penstrukturan semula ekonomi berdasarkan langkah-langkah untuk mencegah pembaziran dan kekayaan berlebihan, menghentikan ketirisan dan rasuah, serta memastikan kekayaan diagihkan secara saksama.
“Langkah-langkah berkesan terhadap rasuah mesti merangkumi pendekatan menyeluruh dalam undang-undang dan kesedaran masyarakat. Mesti ada kemahuan politik untuk berperang dalam hal ini,” ujarnya mengenai isu rasuah yang berpanjangan hingga kini.