NGO

Tindakan KDN Sembrono & Calar Imej Kerajaan PH – Naib Presiden PERKASA

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

1. Saya merujuk kepada laporan akhbar Berita Harian bertajuk “Kabinet Sudah Maklum KDN Tarik Balik Rayuan Penggunaan Kalimah Allah” bertarikh 15 Mei 2023.

2. PERKASA amat terkejut dengan keputusan Kementerian Dalam Negeri ini yang dibuat pada 18hb April 2023 tetapi didiamkan sehinggalah 15 Mei 2023.

3. Sayugia diperingatkan, arahan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 1986 di bawah kepemimpinan kerajaan Barisan Nasional ketika itu telah melarang orang bukan Islam menggunakan kalimah “Allah”, “Baitullah”, “Kaabah” dan “solat”. Arahan ini adalah selari dengan Perlembagaan Persekutuan dan sebarang penggunaan kalimah-kalimah ini adalah menyalahi undang-undang dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

4. Bahkan tindakan terkini KDN menarik balik rayuan penggunaan kalimah Allah dibuat secara semborono dan tergesa-gesa serta telah membakulsampahkan dan tidak menghormati keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 2008 yang menegaskan bahawa kalimah Allah ada sesuatu yang sakral bagi agama Islam sebagai Ad-Din, umat Islam dan upacara upacara kerohanian yang berkaitan dengannya.

5. Tindakan KDN menarik balik rayuan penggunaan kalimah Allah juga telah mencalarkan imej Kerajaan Pakatan Harapan dan amat menyentuh sensitiviti dan sentimen umat Islam dalam negara ini. Tindakan KDN juga bertentangan dengan titah dan hasrat para Sultan Melayu-Islam dalam negara ini yang mahukan isu penggunaan kalimah Allah ini dirayu semula di Mahkamah Tinggi ketika itu.

6. Jika orang bukan Islam mempunyai hak menggunakan kalimah Allah untuk tujuan agama bukan Islam dan pendidikan mereka, maka keadaan akan menjadi caca-merba, bertentangan dengan aspirasi umat Islam yang merupakan penduduk majoriti di negara ini, serta boleh mengganggu gugat keselamatan negara dan ketenteraman awam.

7. PERKASA menggesa KDN agar meneruskan kembali rayuan penggunaan kalimah Allah di mahkamah dan tidak membuat keputusan yang tidak cerdik serta merugikan umat Islam serta masa depan Kerajaan Pakatan Harapan.

Profesor Madya Dr. Amini Amir Abdullah
Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA)
Merangkap Pengerusi Biro Keagamaan dan Kerohanian PERKASA

Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: