Isu Kalimah ALLAH: PEMBELA Desak Jawatankuasa Pelantikan Kehakiman Lantik Hakim Faham Islam Agama Persekutuan
KUALA LUMPUR, 15 Mac 2021 – Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penggunaan kalimah ALLAH oleh orang bukan Islam menimbulkan rasa kecewa kepada Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA).
Tambah mereka, keputusan itu akan membuka ruang kepada penyalahgunaan kalimah ALLAH dan menyebabkan penghinaan kepada agama Islam.
Dalam satu kenyataan Resolusi Perjumpaan Tergempar NGO-NGO Islam semalam, PEMBELA mendesak agar kerajaan dan Jawatankuasa Pelantikan Kehakiman melantik hakim-hakim yang benar-benar memahami sejarah perundangan Perlembagaan dan asas Islam sebgai agama Persekutuan.
“Kami menuntut kerajaan dan Jawatankuasa Pemilihan Hakim apabila melantik hakim-hakim memastikan mereka yang benar-benar faham sejarah perundangan negara dan menghayati Islam sebagai agama Persekutuan dalam konteks yang sebenar,” ujar mereka.
Menurut PEMBELA lagi, isu kalimah ALLAH ini sangat berat dan ianya akan menyebabkan implikasi besar terhadap umat Islam jika tidak diambil serius oleh pihak yang berwajib.
“Kami menyarankan agar setiap organisasi dan persatuan umat Islam mengambil serius perihal isu ini kerana ia membawa implikasi besar kepada umat Islam dan menyarankan satu memorandum bantahan dihantar kepada Majlis Agama Islam Negeri di setiap negeri dengan kadar segera.”
Selain itu, PEMBELA juga menyarankan kerajaan mengadakan Mukadimah (Preamble) kepada Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan elemen-elemen penting bagi menjaga keutuhan agama Islam.